Prestasi Barcelona tak cukup bagus

Lionel Messi
Lionel Messi
A
A
A

BINTANG Barcelona, Lionel Messi menghamburkan kritikan kepada pasukannya selepas tewas kepada Osasuna 1-2 di Nou Camp sekali gus menyaksikan kelab Catalan itu gagal mempertahankan kejuaraan La Liga musim ini.

Menurutnya, prestasi Barcelona tidak cukup bagus dan memerlukan perubahan sekiranya mahu memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini dan kembali menjadi pasukan gergasi Sepanyol musim depan merampas trofi La Liga daripada Real Madrid.

Dalam 10 perlawanan sejak La Liga disambung semula, Barcelona kehilangan banyak mata selepas mencatat tiga seri dan satu kekalahan, manakala Real memenangi 10 perlawanan berturut-turut termasuk menewaskan Villareal 2-1 awal pagi tadi untuk mengesahkan kejuaraan liga.

"Saya mahu katakan jika kami terus beraksi buruk, kami tidak akan berjaya di Liga Juara-Juara musim ini.Kegagalan mempertahankan gelaran La Liga adalah bukti paling nyata.

"Kami harus mengubah banyak perkara jika ingin berjaya dan memperbetulkan persembahan. Kami kehilangan trofi La Liga kerana kesilapan sendiri dan bukan kerana Real adalah pasukan kuat.

"Sejujurnya, kami tidak mahu berakhir dengan cara seperti ini, tetapi pertandingan malam ini gambaran apa yang telah kami lakukan secara keseluruhan.

"Kami terlalu lemah dan rapuh. Tidak wajar pasukan lain dapat menewaskan intensiti dan keghairahan kami yang sebelum ini berjaya menghadiahkan banyak trofi buat pasukan," katanya.

Dalam pada itu, pengendali Barcelona, Quique Setien mengakui berisiko kehilangan jawatannya itu selepas gagal membantu pasukan mempertahankan kejuaraan La Liga.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak tahu apa nasib saya. Tetapi, saya berharap dapat melatih Barcelona dalam baki kempen Liga Juara-Juara," katanya.

Dalam masa sama, dia turut bersetuju dengan kritikan yang dilemparkan Messi dan memahami kekecewaan yang dialami pemain kelahiran Argentina itu

"Saya setuju dengan Messi. Kami perlu berubah dalam tempoh sebulan ini jika tidak kami juga akan gagal menjuarai Liga Juara-Juara yang menjadi antara trofi yang berpeluang kami menang," katanya.