X

Kindly register in order to view this article
!

1MDB: Pembelian loji perlu dibuat sebelum PRU

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi - Foto Sumber Internet
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, spekulasi pilihan raya akan diadakan pada 2013 menyebabkan pembelian loji kuasa bebas Genting Sanyen (M) Sdn Bhd dibuat secara terburu-buru.

Saksi kesembilan pendakwaan bagi kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, beliau mengetahui perkara berkenaan selepas dimaklumkan oleh ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammad, Shahrol berkata, berdasarkan kenyataan Jho Low, Najib mengarahkannya supaya pembelian dibuat sebelum pembubaran Dewan Rakyat.

“Ia melibatkan pembelian 100 peratus saham dalam Mastika Lagenda Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memegang 75 peratus kepentingan dalam Genting Sanyen Power Sdn Bhd, berjumlah RM2.75 bilion.

“Tindakan terburu-buru itu juga disebabkan tekanan daripada Jho Low yang menyatakan pinjaman dan penjamin dari International Petroleum Investment Company (IPIC) perlu dipercepat kerana terdapat faktor kerjasama G-to-G iaitu pemerintah ke pemerintah,” katanya.

Wan Aizuddin: Saya cadangkan, ahli lembaga pengarah diminta menandatangani isu yang berkaitan dengan pemerolehan RM2.75 bilion melalui resolusi pekeliling pengarah berbanding mengadakan pertemuan dengan ahli lembaga pengarah, yang mana pembentangan boleh dibuat, seterusnya kelulusannya dikeluarkan.

Shahrol: Saya setuju. Ia tidak seperti pengambil alihan pengendali loji janakuasa 1MDB, Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd, di mana penasihat kewangan 1MDB Goldman Sachs akan memberi pembentangan di hadapan ahli lembaga pengarah.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013 di tempat sama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus