X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja asing ada permit boleh kembali bekerja

Pekerja asing yang mempunyai permit dan berada di Malaysia dibenarkan kembali bekerja apabila sektor mereka beroperasi semula. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pekerja asing yang mempunyai permit dan berada di Malaysia dibenarkan kembali bekerja apabila sektor mereka beroperasi semula, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kebenaran itu tertakluk kepada syarat yang memerlukan mereka menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) sebelum kembali bekerja.

"Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini," katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menyentuh mengenai aplikasi MySejahtera, Ismail Sabri berkata, sehingga kini, seramai 6.2 juta pengguna telah memuat turun dan mengaktifkan aplikasi itu selain 254,833 premis perniagaan yang turut mendaftar.

Namun katanya, masih terdapat premis perniagaan yang tidak menyediakan QR Code MySejahtera dan hanya menyediakan QR Code aplikasi yang dibangunkan pihak lain.

“Kerajaan ingin menggesa pihak pengusaha perniagaan untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan usaha kerajaan membendung jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, seramai 1,623 pendatang asing tanpa izin (PATI), 526 tekong serta 110 penyeludup ditahan menerusi Operasi Benteng sejak 1 Mei lepas hingga semalam.

Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa juga menahan 59 bot dan 161 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.

"Semalam, Polis Diraja Malaysia membuat 67 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 39,183 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong tikus dan berjaya menahan lima warganegara asing atas kesalahan imigresen," katanya.

Dalam pada itu katanya, 68 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu 14 individu direman manakala 54 lagi dikompaun. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!