X

Kindly register in order to view this article
!

Bas sekolah percuma tiada kaitan PRN Sarawak

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melancarkan perkhidmatan bas sekolah percuma di Kuching hari ini. - Foto: Bernama
A
A

KUCHING - Pelancaran perkhidmatan bas sekolah percuma oleh kerajaan negeri Sarawak hari ini bertujuan memudahkan kehidupan penduduk negeri dan tiada kena mengena dengan pilihan raya negeri yang bakal menjelang, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, kemudahan terbaharu itu merupakan di antara pelbagai inisiatif yang dijanjikan beliau yang telah ditunaikan sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negeri kira-kira tiga tahun lepas.

“Saya telah berjaya mengambil alih projek hidro elektrik Bakun, melaksanakan aplikasi SarawakPay, menubuhkan Petros (Petroleum Sarawak Berhad, syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri), Bank Pembangunan Sarawak dan memenangi kes tuntutan pembayaran cukai jualan produk petroleum daripada Petronas,” katanya.

Bercakap kepada media selepas melancarkan perkhidmatan bas sekolah tambang percuma itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan lima buah sekolah antarabangsa berasrama yang memberikan pendidikan berkualiti tinggi di sini, Sibu, Miri dan Bintulu.

“Kita harus mempunyai perancangan kerana negeri ini sekarang sedang membangunkan ekonomi digitalnya dan menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Abang Johari berkata, penyediaan khidmat bas sekolah percuma bertujuan meringankan beban kumpulan B40 yang mempunyai anak bersekolah dan menurutnya, inisiatif itu akan memanfaatkan kira-kira 3,000 pelajar di 32 buah sekolah di sini dan Samarahan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sudah memohon kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) lesen untuk menyediakan kemudahan telekomunikasi dan internet.

Menurut beliau, masalah ketiadaan kemudahan internet khususnya di kawasan luar bandar adalah disebabkan syarikat-syarikat telco yang sedia ada tidak mahu melebarkan liputannya ke kawasan luar bandar atas alasan jumlah pelanggan tidak ramai dan kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Kita berharap ia akan mendapat kelulusan secepat mungkin (untuk mendapatkan lesen berkenaan),” katanya dan menambah kira-kira 200 menara telekomunikasi sudah siap dibina di seluruh negeri ini tetapi tidak dimanfaatkan berikutan keengganan syarikat telekomunikasi beroperasi di kawasan terbabit. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus