'Saya tak pernah jumpa dia'

Najib Razak
A
A

LIPIS - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau pernah berjumpa dengan mendiang Altantuya Shaariibuu dan menyifatkan tindakan mengaitkan dengan wanita itu sebagai satu fitnah.

Tegas Najib, beliau juga pernah bersumpah tentang perkara tersebut pada tahun 2008.

"Itu fitnahlah. Tipu. Saya tak pernah jumpa dia (Altantuya).

[ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Altantuya beri keterangan kes saman pembunuhan anaknya]

“Saya dah sumpah dalam masjid,” katanya merujuk kepada sumpahnya pada 2008," katanya ketika ditemui pemberita ditemui selepas menghadiri majlis beramah mesra bersama penduduk di Kampung Lubuk Kulit di Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Burmaa Oyunchimeg di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Menurut sepupu Altantuya itu, dia mendakwa Altantuya pernah menunjukkan gambarnya bersama penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan seorang menteri bernama bernama “Razak”.

Burmaa membuat dakwaan tersebut ketika memberi keterangan sebagai saksi dalam saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya susulan kematian mendiang.

Altantuya mati dibunuh pada Oktober 2006 apabila kepalanya ditembak dan mayatnya diletupkan.

Dua anggota polis elit dari unit tindakan khas (UTK) Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar kemudian didapati bersalah kerana membunuh wanita berkenaan manakala Abdul Razak dibebaskan daripada tuduhan bersubahat terhadap kes pembunuhan itu.

Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan isterinya Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Razak Baginda dan Kerajaan Malaysia, dengan menuntut pampasan RM100 juta.