'Saya akan teliti isu TH dengan adil'- Zulkifli

Zulkifli (kanan) menerima Memorandum Mendesak Penubuhan RCI TH daripada Asyraf Wajdi (kiri) di pejabatnya hari ini.
Zulkifli (kanan) menerima Memorandum Mendesak Penubuhan RCI TH daripada Asyraf Wajdi (kiri) di pejabatnya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berjanji akan meneliti dengan penuh adil dan amanah Memorandum Mendesak Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyiasat isu-isu berkaitan lembaga itu.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Zulkifli berkata, beliau menerima memorandum berkenaan daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di pejabatnya di sini hari ini.

"Menerima Memorandum Mendesak Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji daripada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

⁣"Sekalung penghargaan diucapkan kepada Asyraf Wajdi. Insya-ALLAH saya akan teliti dengan penuh adil dan amanah," tulisnya di Facebook kira-kira satu jam lalu.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, segala tuduhan salah-laku dan penyelewengan terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) sehinggalah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya boleh dirungkaikan melalui penubuhan RCI yang bertindak secara bebas dan berkecuali.

Beliau berkata, keyakinan dan kepercayaan rakyat dan umat Islam terutamanya pendeposit boleh dikembalikan apabila bukan sahaja isu-isu lama dapat diselesaikan malah cadangan-cadangan penambahbaikan digarap sebaiknya oleh pihak RCI yang bakal dibentuk kelak.

"Mewakili Pemuda UMNO, saya merakamkan penghargaan kepada Zulkifli atas masa yang diperuntukkan hampir satu jam setengah mendengar penjelasan kami sekaligus menerima memorandum untuk diangkat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin.

"Semoga usaha kami di peringkat Pergerakan Pemuda UMNO ini akan diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan PN," katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan berkenaan menerima hampir 1,000 lebih tanda suka, 49 komen dan 65 perkongsian dalam kalangan netizen.

Pengguna Facebook, Mohamad Ali Sabri memberi komen, "Moga dipermudahkan segala urusan demi memartabatkan Islam dan umat yg selalu diperlekehkan...kami sokong RCI diwujudkan.

Ahmad Suazli Mohamed turut memberi komen: "Harap diterima Datuk Seri untuk membersihkan nama Tabung Haji (TH). Ini aset orang Islam yang perlu dijaga."