Tesco teroka tenaga solar

Salah sebuah cawangan Tesco yang telah dilengkapi dengan panel solar PV.
Salah sebuah cawangan Tesco yang telah dilengkapi dengan panel solar PV.
A
A
A

SEBANYAK 15 daripada 62 cawangan pasar raya Tesco di seluruh negara akan dijana dengan tenaga solar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores Sdn Bhd (Tesco), Paul Ritchie.

Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah hasil kerjasama pasar raya berkenaan dengan syarikat usaha sama PETRONAS dan NEFIN Group iaitu NE Suria Satu Sdn Bhd (NESS) melalui Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) jangka panjang terbesar (Tesco-NESS PPA) untuk tenaga solar di Malaysia.

Beliau berkata, perjanjian selama 20 tahun sehingga 2040 itu akan menyaksikan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di atas bumbung 15 cawangan Tesco terpilih.

Jelasnya, pemasangannya yang dijangka selesai pada Oktober itu merupakan fasa pertama dalam usaha Tesco mengunakan tenaga boleh diperbaharui.

“Panel solar PV ini secara kolektif akan menghasilkan sekitar 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun, sehingga mengurangkan sekitar 13,624 tan pelepasan karbon ke atmosfera.

“Tenaga yang dihasilkan dari panel-panel solar PV juga dapat menerangi sebanyak 104 stadium bersaiz Olimpik secara serentak atau 804,905 rumah tiga bilik tidur selama satu tahun,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Cawangan yang dilengkapi dengan panel solar PV ialah Tesco Mergong, Tesco Sungai Petani Selatan, Tesco Jitra, Tesco Kulim dan Tesco Stargate di Kedah; Tesco Ipoh, Tesco Station 18 dan Tesco Kampar di Perak; Tesco Klang, Tesco Puchong, Tesco Bukit Puchong dan Tesco Rawang di Selangor; Tesco Bukit Mertajam dan Tesco Seberang Jaya di Pulau Pinang serta Tesco Extra Seremban Jaya di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, usaha tersebut dalam masa sama turut membantu Tesco mengurangkan pelepasan karbon dan menggunakan tenaga bersih di cawangan dinyatakan. Sementara itu, Pengarah NESS, Dr Jay Mariyappan berkata, pihaknya yakin dapat menyokong Tesco merealisasikan matlamat menjaga kelestarian alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

“NESS akan melabur sepenuhnya dalam projek panel solar PV di semua 15 cawangan Tesco, termasuk reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem.

“Kami telah melantik Solarvest sebagai kontraktor Kejuruteraan Perolehan Pembinaan (EPC) tempatan untuk projek ini,” katanya.

Tesco-NESS PPA sangat penting kepada Tesco kerana ia menyokong matlamat syarikat induknya, Tesco Group untuk menjadi perniagaan tanpa karbon menjelang 2050.