Bahaya guna telefon bimbit ketika memandu

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR – Australia selalu dijadikan contoh banyak negara di dunia dalam menguatkuasakan undang-undang terutama yang membabitkan kes jenayah.

Baru-baru ini, Australia menguatkuasakan penggunaan telefon kamera khas bagi mengesan pemandu yang menggunakan telefon bimbit di jalan raya. Penguatkuasaan itu menjadikan negara itu yang pertama di dunia berbuat demikian.

Menggunakan sistem radar, kamera yang dipasang boleh merakam pemandu yang menggunakan telefon bimbit melalui cermin sisi kenderaan.

Langkah yang diambil itu adalah bagi mengurangkan kecelakaan di jalan raya kerana satu daripada empat kes kemalangan yang berlaku di negara itu berpunca daripada penggunaan telefon bimbit.

Seperti juga di Australia dan banyak negara lain di dunia, Malaysia juga berhadapan dengan masalah yang sama.

Sikap pemandu yang mengambil mudah aspek keselamatan diri dan pengguna lain menyebabkan mereka tidak kisah tentang larangan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

Senario ini bukan lagi perkara asing. Setakat ini denda RM300 bagi kesalahan menggunakan telefon bimbit seakan sedikit pun tidak memberi kesan malah rata-rata pemandu masih bersikap tidak endah dan masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Kajian Miros

Tahap keseriusan pemandu yang menggunakan telefon bimbit amat membimbangkan sehinggakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan ia sebagai salah satu daripada enam punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia.

Pada masa ini tidak terdapat statistik khusus bagi kemalangan yang diakibatkan penggunaan telefon bimbit. Biasanya penggunaan telefon bimbit dikategorikan sebagai kesalahan memandu secara cuai.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan PDRM, faktor kecuaian menyumbang kepada kira-kira 10 peratus daripada jumlah kemalangan di jalan raya.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pernah melakukan beberapa kajian tentang bahaya penggunaan telefon bimbit.

Kajian Miros pada 2016 melibatkan 300 responden di Lembah Klang mendapati 43 .4 peratus pemandu di Lembah Klang menggunakan telefon bimbit ketika memandu, 61.9 peratus menggunakan telefon bimbit ketika berhenti di simpang lampu isyarat merah dan 53.6 peratus pemandu menggunakan telefon bimbit ketika terperangkap di dalam kesesakan.

Kajian itu juga turut mendedahkan 53 peratus pemandu menaip teks "texting” ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu dan 61 peratus pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.

Pengerusi Miros, Tan Sri Lee Lam Thye berkata melalui kajian yang dijalankan itu, majoriti rakyat Malaysia bersetuju penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh mempengaruhi tingkah laku pemanduan serta membahayakan diri dan orang lain namun mereka masih berbuat demikian.

Telefon bimbit ganggu pemanduan

Bukan sahaja tabiat membalas masej dan membuat panggilan telefon, aktiviti lain seperti mengawal sistem navigasi, mengawal sistem maklumat di dalam kenderaan seperti radio, pemain DVD dan MP3 juga boleh mengganggu tumpuan ketika pemanduan.

Dalam kajian Miros terdapat perbezaan jarak berhenti kenderaan mengikut jenis gangguan ketika memandu pada kelajuan 110 kilometer perjam (km/j).

Sekiranya pemanduan tanpa sebarang gangguan dan halangan, jarak berhenti kenderaan adalah sekitar 97.68 meter namun apabila berlaku halangan seperti menggunakan kawalan navigasi, jarak berhenti adalah sejauh 113.85 meter iaitu perbezaan sebanyak 16.55 peratus berbanding tanpa halangan .

Gangguan kawalan sistem maklumat dalam kenderaan menyebabkan kenderaan berhenti sejauh 112.62 meter atau perbezaan 15.29 peratus tanpa halangan, menaip pesanan ringkas pula menyebabkan jarak berhenti pada 112.62 meter atau peratusan perbezaan jarak 13.63 peratus dan jarak berhenti ketika berbual dengan penumpang pula adalah pada 108.99 meter atau perbezaan jarak berhenti sekiranya tanpa halangan sebanyak 11.57 peratus.

“Daripada kajian yang dilakukan ini, semakin tinggi kadar gangguan semasa memandu maka semakin lambat tindak balas dan seterusnya menyebabkan semakin jauh jarak berhenti kenderaan. Ini menyebabkan risiko yang lebih tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya.

Sementara itu kajian terbaharu Miros tentang pengukuran gangguan pemanduan menggunakan telefon bimbit pada tahun 2018 mendapati pemandu akan terganggu ketika menggunakan telefon bimbit sama ada secara berbual atau menaip berbanding tanpa menggunakan telefon bimbit.

Semakin lama masa tindak balas dengan telefon bimbit semakin tinggi kadar gangguan ketika memandu, katanya.

Menaip menggunakan telefon bimbit adalah lebih terganggu dan merbahaya jika dibandingkan berbual melalui telefon bimbit.

Ini disebabkan apabila menaip, pemandu akan meibatkan beberapa jenis gangguan iaitu gangguan secara visual, fizikal dan kognitif yang boleh mengganggu tumpuan ketika memandu dan meningkatkan risiko untuk terlibat dengan kemalangan.

Langkah lebih tegas diambil

Menurut Lee, sikap pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit walaupun mengetahui bahaya yang boleh menimpa diri mereka dan pemandu lain ini dipanggil “optimism bias”.

“Dalam psikologi, mereka ini sentiasa merasakan diri mereka kurang berisiko untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya berbanding dengan pemandu lain.

“Tanggapan ini amat merbahaya kerana pemandu tersebut terlebih yakin ketika memandu dan seterusnya menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan pihak berkuasa perlu dilakukan dengan lebih kerap dan menyeluruh di seluruh negara bagi mengekang masalah penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

Beberapa cadangan Miros antaranya pemandu boleh menggunakan aplikasi seperti “drive and driving” yang terdapat pada Apple App Store dan Google Play Store yang akan meletakkan telefon bimbit dalam keadaan mod pemanduan seperti tetapan “flight mode” yang terdapat pada semua telefon bimbit bagi memastikan pemanduan selamat.

Pengeluar telefon bimbit pula boleh wujudkan mod atau sensor “drive” yang mana semua aplikasi yang memerlukan input daripada pengguna tidak akan diaktifkan (disable) semasa memandu atau berada di dalam kenderaan.

Sementara itu pengeluar kereta boleh wujudkan "fungsi wireless" atau aplikasi yang boleh membaca dan menghantar masej melalui arahan suara pada semua model kereta. Namun pengunaanya perlu terhad kepada nombor kecemasan sahaja bagi meminimumkan interaksi antara pemandu dan gajet.

Beliau yang memuji langkah Australia berkata ia satu langkah yang baik namun kajian secara terperinci daripada pelbagai sudut perlu dilakukan sekiranya usaha seperti itu ingin dilaksanakan di Malaysia.

“Memang tidak dapat dinafikan penggunaan teknologi tinggi kamera khas adalah lebih efisien kerana dapat mengurangkan penggunaan sumber dan kesilapan manusia namun ia perlu dikaji agar usaha itu dapat memberi impak positif kepada rakyat Malaysia, “ katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia