X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dibuka tinggi seiring harga minyak mentah

Pada 9 pagi ini, ringgit mengukuh kepada 4.2630/2680 berbanding dolar AS daripada 4.2680/2720 semalam.
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, seiring dengan prestasi harga minyak mentah yang meningkat 0.23 peratus kepada AS$43 setong.

Pada 9 pagi ini, ringgit mengukuh kepada 4.2630/2680 berbanding dolar AS daripada 4.2680/2720 semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, walaupun ringgit meningkat sedikit namun secara keseluruhannya pasaran mata wang lebih kepada kedudukan bertahan menjelang pertemuan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang dijadualkan hari ini.

“Saya tidak yakin mesyuarat OPEC itu akan banyak menjejaskan pasaran. Oleh itu, pasaran tukaran asing tidak akan banyak dipengaruhi dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bersama OPEC itu," katanya kepada Bernama.

Menurut Innes, meskipun langkah perintah berkurung California merupakan sesuatu yang tidak menarik untuk pasaran, namun risiko di Asia agak terpencil dalam konteks mendapat rangsangan susulan pembukaan semula China.

“Mujurlah ringgit mampu berharap kepada China tetapi saya tidak nampak sebarang langkah ketara dalam pasaran tukaran asing minggu ini berikutan tindakan peniaga yang lebih dalam kedudukan bertahan.

“Namun sekali lagi, minggu depan akan menyaksikan faktor luaran menjejaskan lonjakan ringgit. Bagaimanapun dalam tukaran asing Asia, ringgit dijangka kekal bertahan sambil menunggu rangsangan seterusnya daripada renminbi," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama pagi ini, kecuali yen yang menyaksikan ringgit meningkat kepada 3.9730/9780 berbanding 3.9758/9806.

Berbanding dolar Singapura, ringgit diniagakan rendah pada 3.0645/0696 daripada 3.0628/0661.

Dari segi perbandingan dengan pound Britain, ringgit susut kepada 5.3599/3679 daripada 5.3431/3485 manakala berbanding euro, ringgit rendah kepada 4.8645/8719 daripada 4.8484/8534. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus