Gerak Muhyiddin dari kaca mata Shafie

Mohd Shafie Apdal ketika ditemubual media tempatan dan antarabangsa di Rumah Sabah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Mohd Shafie Apdal ketika ditemubual media tempatan dan antarabangsa di Rumah Sabah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
A
A
A

NAMA Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal tiba-tiba melonjak di tengah-tengah ketegangan politik di kem Pakatan Harapan (PH) sejak beberapa minggu lalu.

Ketegangan hubungan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu calon Perdana Menteri PH menyebabkan Dr Mahathir tiba-tiba membuat cadangan Shafie sebagai alternatif kepada kegagalan PH mencapai kata sepakat.

Walaupun ada yang melihat PH seolah-olah dalam retak menanti belah, namun kemenangan tipis kerajaan Perikatan Nasional dalam usul mengosong dan menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Isnin lalu membuktikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh memandang ringan bahaya yang boleh dibawa pembangkang.

Hanya dibezakan dua undi apabila 111 ahli Parlimen menyokong manakala 109 lagi menentang, perbalahan PH dalam calon isu PM pakatan itu tidak memecahkan undi mereka semalam.

Dan dengan Shafie kini ialah calon pilihan negarawan Malaysia Dr Mahathir, lensa media seluruh dunia kini tertumpu kepada figura berusia 63 tahun yang juga Ketua Menteri Sabah.

Buktinya semalam media tempatan dan antarabangsa berkumpul di Rumah Sabah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur untuk menyelami sendiri isi hati Ahli Parlimen Semporna itu mengenai khabar angin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan isu pencalonan beliau sebagai Perdana Menteri PH.

Pilihan raya umum

Mengakui ura-ura khabar angin PRU15 semakin kuat kedengaran, namun Mohd Shafie berpandangan Muhyiddin tidak akan membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 kerana Perdana Menteri itu mungkin merasakan masih mempunyai sokongan ahli Parlimen walaupun hanya perbezaan dua undi dalam usul mengosongkan kerusi Speaker Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Saya ada mendengar daripada pelbagai jenis petunjuk. UMNO kelihatan mendesak beliau, Pas juga memberi petunjuk tekanan terhadap Muhyiddin.

“Sudah semestinya, saya juga percaya Muhyiddin tidak akan mengadakan pilihan raya kerana beliau adalah Perdana Menteri. Beliau lebih rela kekal selama mungkin.

“Anda tidak perlukan pilihan raya di Malaysia, jika anda mendapat nombor (sokongan) maka anda boleh menjadi Perdana Menteri kerana undang-undang dinyatakan dengan jelas,” katanya dalam temu ramah khas bersama media di Kuala Lumpur semalam.

Sekiranya Muhyiddin hilang keyakinan ahli Parlimen dalam PN, apa yang beliau boleh lakukan adalah menghadap Yang Dipertuan Agong dan meletakkan jawatan, sama prosesnya yang berlaku ketika Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ketua Menteri Sabah itu menambah, apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir itu adalah kerana beliau merasakan bahawa hilang sokongan daripada ahli Parlimen dalam PH.

“Dr Mahathir mendokong semangat Perlembagaan di mana apabila seorang Perdana Menteri kehilangan majoriti keyakinan maka beliau harus meletak jawatan.

“Beliau mempunyai nilai moral sebagai ahli politik senior di negara ini, mengetahui PH tidak lagi menyokongnya, maka beliau harus menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan berkata, beliau tidak lagi menguasai majoriti sebaliknya PH,” kata Shafie yang mengakui beliau sehingga kini terus memberi sokongan kepada Dr Mahathir kerana pengaruh besar tokoh itu terutamanya dalam kalangan orang Melayu berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, sebaik Perikatan Nasional memerintah negara pada awal Mac lalu, PH cuba mengambil alih kembali pemerintahan dengan pada satu ketika mereka mendakwa mendapat sokongan lebih 130 ahli Parlimen.

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal

Namun sehingga ke hari ini dakwaan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi PH masih tidak terbukti malah PH sendiri pada ketika ini masih bergelut dengan calon Perdana Menteri sekiranya mampu merampas kembali pemerintahan negara.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap dengan pendirian mahu menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Malah melalui nama baharu PH Plus iaitu gabungan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), DAP, Warisan dan blok yang memihak kepada Dr Mahathir masih belum mencapai kata putus siapa yang bakal dicalonkan sebagai perdana menteri.

Diajak berbual lanjut mengenai respons beliau terhadap cadangan itu, ternyata Shafie seorang yang amat berhati-hati dalam langkah politiknya.

Sokongan

Tidak menolak dan tidak juga menerimanya bulat-bulat, selepas lebih beberapa minggu Shafie semalam mengakui kepada media bahawa beliau masih sedang membaca sokongan politik kepadanya.

“Nama saya sebenarnya dicadangkan oleh DAP dan Amanah. Itu bukan cadangan Dr Mahathir. Mereka bawa idea seperti ini untuk memberi penyelesaian kerana Dr Mahathir dan Anwar tidak boleh bekerja bersama.

“Hakikatnya saya tidak pernah meminta untuk menjadi perdana menteri,” katanya mengulas mengenai bagaimana namanya dicadangkan sebagai calon PM PH.

Bagaimanapun, parti komponen PH iaitu DAP dan Amanah yang didakwa bersetuju dengan cadangan itu kemudian mengeluarkan kenyataan bersama memaklumkan perkara itu perlu diputuskan pula di peringkat PH.

Dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 5 Julai lalu, DAP dan Amanah tetap dengan keputusan awal iaitu Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Shafie menyifatkan ‘pusingan-U’ oleh DAP dan Amanah itu menunjukkan betapa tidak tegasnya PH.

Ditanya sama ada pilihan itu masih ada untuk pembangkang, Shafie menegaskan bahawa beliau perlu menyelesaikannya dengan DAP dan Amanah terlebih dulu.

“Saya rasa perlu berbincang dengan rakan-rakan yang mencadangkan nama saya, sebab saya perlu pastikan (perkara itu) terlebih dulu.

“Jika kita boleh bersama-sama untuk undi di Parlimen demi kepentingan bersama, mengapa tidak? Maksud saya, ia adalah penyelesaian.

“Kem Dr Mahathir menyokong saya dan sebahagian dalam kem Anwar juga menyokong saya dan mereka telah sampaikan mesej. Pastinya ia akan memakan masa dan masa tidak berpihak kepada kita,” katanya.

Ditanya mengenai peranan Dr Mahathir pada PRU15, Shafie mendedahkan beliau pun tidak tahu sama ada Dr Mahathir akan bertanding semula namun menjelaskan Dr Mahathir akan membantunya.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihaknya (Dr Mahathir), beliau sudah berumur 95 tahun, terpulang kepada Dr Mahathir,” katanya.