Bagaimana elak menua dengan cepat?

Ia bukan satu penyakit, tapi tiada cara untuk 'lari' daripadanya

A
A
A

Soalan 1

Doktor, saya akan menjangkau usia 40 tahun tidak lama lagi. Masalahnya, sudah kelihatan garis-garis halus pada raut wajah dan ia merisaukan saya. Saya sangat khuatir proses penuaan saya terlalu cepat. Apa perlu saya lakukan untuk 'lari' daripada menua terlalu awal?

Ingin tahu, Suzila Abu Samad, 40, Pontian, Johor.

Jawapan:

Penuaan adalah proses yang berlaku secara progresif dan beransur-ansur. Hakikatnya, ia tidak boleh dihentikan. Punca sebenar proses penuaan masih lagi dikaji oleh penyelidik seluruh dunia.

Pun demikian, ada beberapa teori pernah dicadangkan ahli-ahli sains berhubung penuaan.

Antaranya ialah teori keradangan kronik (inflammation), tekanan redoks (redox stress), kerosakan mitochondria, immunosenescense, neuroendocrinosenescence, modifikasi epigenetik dan penyakit berkaitan penuaan.

Sayangnya, tiada satu pun teori digariskan mampu menerangkan semua aspek berlaku dalam proses penuaan.

Artikel Berkaitan:

Risiko

Seperkara, penuaan bukanlah satu penyakit. Ia disebabkan pengumpulan mengikut tempoh masa yang panjang menyebabkan perubahan di peringkat molekular, selular hingga kepada tisu dan organ secara keseluruhannya yang akan menyebabkan peningkatan risiko penyakit dan kematian.

Berdasarkan kajian dan pemerhatian ahli sains terkini, keradangan atau inflamasi memainkan peranan utama dalam proses penuaan dan juga punca variasi penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser.

Oleh kerana itu, jika kita boleh mengawal kadar keradangan dalam tubuh kita, maka seseorang menjadi lebih sihat dan mengurangkan risiko penyakit berbahaya. Ia secara tidak langsung memanjangkan usia kita.

Menyentuh tentang keradangan, terdapat banyak mekanisme dan keadaan menyebabkan masalah keradangan seperti pemakanan, aktiviti fizikal, obesiti, stres dan pencemaran.

Kajian menunjukkan, penyakit-penyakit kronik pada hari ini sebenarnya berkaitan dengan 'proses keradangan tidak terkawal dan berlebihan' seperti obesiti, penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi, strok, diabetes, kanser, penyakit buah pinggang kronik, osteoartritis, osteoporosis, kedutan kulit pramatang dan penyakit Alzheimer.

Oleh yang demikian, pada usia yang semakin meningkat, kita disarankan untuk mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat demi mengurangkan keradangan dalam tubuh.

Pemakanan meningkatkan kadar keradangan dalam tubuh merujuk makanan proses tinggi gula, asid lemak trans dan karbohidrat halus seperti tepung gandum.

Tabiat tidak sihat seperti merokok mengandungi toksin dan bahan radikal bebas menyebabkan keradangan berlaku terutamanya dalam saluran darah dan paru-paru.

Kena lebih peka konsep sebenar penyakit, jangan mudah keliru

Soalan 2

Pada zaman sekarang, kadar kematian secara tiba-tiba akibat masalah jantung semakin meningkat. Apa jenis makanan perlu saya ambil atau elakkan bagi mencegah sakit ini?

Mahu jaga jantung, Azlan Abdullah, 34, Kuala Lumpur

Jawapan:

Masalah utama kadar penyakit jantung terus meningkat kerana masyarakat moden di seluruh dunia sekarang mengambil makanan yang mendorong kepada masalah keradangan seperti menikmati makanan proses, gula dan asid lemak trans.

Masyarakat pula menjadi keliru kerana sentiasa diberitahu bahawa makanan sihat adalah makanan rendah kolesterol dan rendah kalori semata-mata.

Sedangkan hakikatnya, makanan menyebabkan keradangan tiada kena mengena dengan kandungan kolesterol di dalamnya.

Makanan seperti telur terutamanya telur kuning dikatakan tidak sihat kerana kandungan kolesterol, sedangkan kuning telur mengandungi beta karotin yang merupakan bahan antikeradangan.

Oleh kerana itu, apabila kajian ke atas telur secara terus dijalankan didapati ia tidak meningkatkan risiko penyakit jantung.

Sebenarnya, makanan seperti gula dan lemak trans (marjerin, krimer) yang menyebabkan keradangan meningkatkan risiko kardiovaskular secara terus tetapi susah difahami oleh sesetengah ahli kesihatan yang hanya menghadam konsep kiraan kalori dan kolesterol sahaja.

Justeru, masyarakat perlu didedahkan punca sebenarnya penyakit-penyakit kronik untuk mereka mengambil langkah pencegahan betul.

Situasi semasa kita lihat pada hari ini dengan timbunan penyakit kronik yang amat sukar dibendung berpunca daripada salah faham tentang konsep sebenar penyakit itu terjadi dan kaedah pencegahan sebenarnya.Dr

Dr Norman Mohd Norawi

Merupakan doktor perubatan dengan pengalaman selama 21 tahun. Beliau mempunyai bidang pengkhususan dalam perubatan estetik dan antipenuaan serta perubatan regeneratif. Beliau pengasas dan pemilik Klinik Dr Norman yang mempunyai cawangan di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.