X

Kindly register in order to view this article
!

Kilang kerisik, kicap berkulat diarah tutup

Mohd Wazir menunjukkan kerisik yang sudah disiap, namun bungkusannya berhabuk dan kotor.
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Jijik dan kotor! Itu keadaan empat buah kilang memproses makanan di sekitar Mengkuang Titi, Sungai Lembu dan Tanah Liat di sini yang diarahkan tutup 14 hari oleh pihak berkuasa selepas pemeriksaan Ops Tegar pagi tadi.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan (JKN) Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, empat buah kilang terbabit ialah dua buah kilang membuat kerisik, sebuah kilang kicap dan sebuah kilang mi.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang serta Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendapati kesemua kilang tersebut beroperasi tanpa mengikut piawaian kebersihan yang ditetapkan.

"Di kilang membuat kerisik di Mengkuang Titi didapati kawasan sekitar serta lantai kilang sangat kotor.

"Lebih menjijikkan, bekas menyimpan kerisik yang telah siap dimasak juga dalam keadaan berkulat," katanya kepada media selepas operasi tersebut pagi tadi.

Beliau berkata, selain itu, bangkai tikus juga ditemui selain didapati beberapa ekor anjing sedang berkeliaran di premis tersebut ketika pemeriksaan.

"Ketika serbuan di kilang kerisik itu, sekumpulan pekerja dipercayai warga asing melarikan diri meninggalkan mesin kelapa ke kawasan ladang sawit di belakang kilang berkenaan selepas menyedari kehadiran penguatkuasa," katanya.

Keadaan kotor di kilang memproses kerisik yang diarahkan tutup.
Keadaan kotor di kilang memproses kerisik yang diarahkan tutup.

Sementara itu, beliau berkata, pemeriksaan di kilang memproses kicap pula mendapati pekerja kilang telah menggunakan bungkusan plastik yang telah reput dalam bekas menyimpan kacang soya.

Katanya, mengikut undang-undang penggunaan plastik dalam proses pengampaian tidak dibenarkan.

"Pemeriksaan pada tempat menyimpan bahan mentah iaitu kacang soya juga didapati ia diisi dalam beg plastik untuk proses pengampaian.

"Pekerja kilang juga didapati membiarkan kicap yang sudah siap diletakkan di luar bangunan dan terdedah kepada bahan asing," katanya.

Mohd Wazir berkata, semua produk yang dikeluarkan oleh dua kilang kicap dan kerisik itu mempunyai cop halal manakala kilang mi mempunyai salinan sijil halal.

"Kita akan membuat aduan kepada pihak berkaitan tentang perkara itu untuk pemeriksaan lanjut.

"Kita tidak pasti sama ada sijil tersebut asli atau sebaliknya kerana berdasarkan pemeriksaan premis oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, premis ini didapati tidak mengikut standard dan tidak wajar diberikan sijil halal," katanya.

Tong yang menyimpan kerisik yang meloyakan.
Tong yang menyimpan kerisik yang meloyakan.

Jelasnya, operasi dijalankan selepas membuat risikan dan intipan sejak dua minggu lalu.

"Daripada empat buah kilang ini, ada yang pernah diarahkan tutup serta dikenakan kompaun sebelum ini kerana kotor.

"Bagaimanapun, nampaknya pemilik kilang masih berdegil apabila mengulangi kesalahan sama," katanya.

Katanya, dalam operasi itu, JKN Pulau Pinang dan MBSP mengeluarkan sembilan kompaun berjumlah RM9,000 atas pelbagai kesalahan.

"Selain itu, pemilik kilang juga perlu membersihkan premis masing-masing sebelum dibenarkan beroperasi semula," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus