X

Kindly register in order to view this article
!

23 syarikat produksi terima dana kandungan digital: Finas

Zakaria dan Ahmad Idham bergambar bersama para penerima DKD pada Majlis Penyerahan Tawaran dana itu di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas hari ini. Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini menyerahkan surat tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) yang keseluruhannya bernilai RM7.8 juta kepada 23 syarikat produksi.

Surat tawaran DKD itu diberikan kepada syarikat yang berjaya melalui proses penilaian, bagi kategori program televisyen dan dokumentari pada Jun lepas.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, pemberian dana itu bertujuan membantu industri kreatif sekali gus merancakkan semula ekonomi penggiat seni yang terjejas, susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Kita yakin dengan pemberian dana ini, ia dapat membuka peluang perniagaan dan pendapatan, terutama kepada pekerja di belakang tabir yang sebelum ini terjejas teruk.

“Oleh itu, kita berharap agar semua penerima surat tawaran ini dapat memulakan dengan segera kerja-kerja penggambaran,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan surat tawaran berkenaan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, pemberian dana bagi produksi drama dan dokumentari itu merupakan fasa pertama, dan akan diteruskan ke fasa kedua melibatkan produksi filem tidak lama lagi.

Katanya, Finas memilih produksi drama dan dokumentari terlebih dahulu, kerana percaya ia mampu memberi pulangan yang lebih cepat, berbanding penerbitan filem.

“Agenda utama kita adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan, jadi kita perlu bagi pakej produk yang nyata produksi boleh mulakan penggambaran, dalam kadar segera. Itulah sebab, kali ini kenapa kita dahulukan dana bagi drama dan dokumentari,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan dana itu tidak disalah guna, Ahmad Idham berkata pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa.

“Jika ada mana-mana produksi yang membuat masalah, secara tidak langsung ia turut membantutkan usaha kita untuk membantu penggiat seni yang kehilangan kerja.

“Oleh itu, kita ada jawatankuasa yang akan melakukan pemantauan bagi memastikan semua kerja penggambaran lancar tanpa masalah berbangkit,” katanya.

Sementara itu, permohonan DKD bagi kategori Dana Mikro, Dana Pemasaran dan Dana PSA, dibuka sehingga November depan, dan pemohon yang tidak berjaya boleh mengemukakan permohonan pada sesi akan datang. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!