Wanita rugi hampir RM700,000 diperdaya 'pos laju'

 Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang wanita berusia 51 tahun kerugian RM695,660.68 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Pos Laju pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian 21 Mei lalu, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Pos Laju Malaysia di Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek mendakwa terdapat bungkusan yang didaftarkan atas nama mangsa mengandungi kad pengenalan dan lapan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dihantar kepada alamat di Kota Kinabalu, Sabah.

"Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu. Namun, suspek telah menyambungkan talian kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.

"Mangsa sekali lagi dihubungi suspek dan menyatakan terlibat pelbagai dakwaan jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang terpedaya dengan dakwaan terbabit telah akur dengan arahan suspek sebelum membuat pemindahan wang ke enam akaun bank berasingan melibatkan 38 transaksi berjumlah RM695,660.68.

Katanya, mangsa telah memaklumkan perkara itu kepada suaminya pada 12 Julai sebelum menyedari dirinya tertipu.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat berkaitan kewangan, akaun bank atau nombor pin kad ATM dengan individu lain.

Artikel Berkaitan:

"Usah mendedahkan butiran diri sekiranya menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.

"Orang ramai boleh memuat turun aplikasi semakmule untuk semakan scammer," katanya.