X

Kindly register in order to view this article
!

KPN sangkal keluar kenyataan bercanggah Mahkamah Koroner

Laporan Sinar Harian semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia menyangkal dakwaan yang mengatakan pasukan keselamatan itu tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner berhubung kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tiada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang dalam sidang media beliau pada Jumaat lalu.

"Segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan terkini, ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya sekali lagi menegaskan bahawa sehingga kini, tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan nampak arwah Muhammad Adib dipukul (eye witness).

"Keterangan yang diperoleh adalah bersifat 'hearsay' dan juga berupa pendapat, namun usaha masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti pelaku-pelaku jenayah ini jika ada," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Adib kesal kenyataan KPN

Kematian Adib: PDRM cadang tubuh pasukan kajian semula

Abdul Hamid berkata, beberapa isu perlu disiasat dengan lebih lanjut ekoran daripada keputusan inkues yang menyatakan arwah Muhammad Adib dipukul dan diserang oleh dua orang atau lebih sekiranya benar berlaku serangan seperti mana yang dinyatakan berdasarkan pendapat saksi dan seorang pakar.

"Pasukan siasatan masih lagi memperhalusi perkara ini bagi mendapatkan suspek sebenar atau sebarang petunjuk untuk tangkapan," katanya.

Beliau berkata, pasukan itu juga menjalankan siasatan lanjut ke atas saksi yang mana didapati tidak konsisten dalam tiga peringkat rakaman percakapan sebelum ini.

"Begitu juga saksi-saksi lain yang telah memberikan keterangan dalam inkues kerana ada antara mereka yang telah mendedahkan beberapa maklumat atau keterangan baharu yang perlu siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, isu 'dying declaration' perlu siasatan lanjut pasukan itu kerana ia dikemukakan semasa inkues tanpa dicabar atau dinilai kredibiliti serta kesahihannya.

"Kita perlu menjalankan siasatan ke atas perkara ini bagi memastikan bagaimana wujudnya isu 'dying declaration'.

"Kemampuan arwah Muhammad Adib memberikan respon ke atas 15 soalan 'dying declaration' itu dan kesahihan kejadian ini daripada saksi-saksi," katanya.

Abdul Hamid berkata, keputusan inkues yang digariskan Koroner cuma panduan pihak polis selepas mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi dipanggil.

"Kita boleh meneruskan siasatan ini melalui pelbagai sudut dan pendekatan bagi menyiasat segala kemungkinan dan seterusnya menyelesaikan kes ini," katanya.

Beliau berkata, terdapat kebarangkalian hasil siasatan lanjut akan tidak selaras dengan keputusan Mahkamah Koroner terutama dari sudut tiada keterangan jelas arwah Muhammad Adib dipukul.

"Keterangan mengenai arwah Muhammad Adib yang tidak sepadan dengan corak serangan yang dikatakan dan keterangan pakar yang bercanggah," katanya.

Abdul Hamid berkata, sebagai menghormati keputusan Mahkamah Koroner, sehingga kini siasatan kes arwah Adib tidak pernah ditutup.

"Siasatan masih lagi diteruskan di bawah Seksyen 320 Kanun Keseksaan, tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat bukti dan keterangan baharu seperti mana yang telah dilakukan sebelum kerajaan memutuskan untuk inkues dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, jumlah tangkapan keseluruhan bagi kes adalah seramai 108 orang, ia melibatkan 61 kertas siasatan.

"Daripada jumlah itu, seramai 28 orang telah dituduh di mahkamah.

"Ia membabitkan lapan kertas siasatan berkaitan kes arwah Muhammad Adib atas pelbagai kesalahan seperti merusuh, mendatangkan cedera, khianat, menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan kesalahan pencerobohan jenayah," katanya.

Pada 27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!