Tukar Yang Dipertua Dewan Rakyat, bukti sokongan terhadap PN

Dr Muhammad Fathi Yusof
Dr Muhammad Fathi Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Usul pengosongan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat yang diluluskan pada hari ini bukan sahaja memperlihatkan kemampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN), malah turut memberi gambaran jelas tentang tahap sokongan anggota Parlimen terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, kejayaan PN melepasi ujian tersebut turut membuktikan bahawa mereka mempunyai cukup sokongan untuk terus mentadbir.

Beliau berkata, selama ini kerajaan PN dituduh sebagai kerajaan yang tidak mempunyai keabsahan kerana tidak mempunyai sokongan majoriti.

"Hakikatnya kerajaan PN mempunyai keabsahan sejak daripada awal dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara di bawah Perlembagaan untuk memilih Perdana Menteri yang pada hemat Seri Paduka Baginda mempunyai kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.

"Pemilihan oleh Tuanku tidak boleh dipertikaikan dan tidak perlu melalui undian di Dewan Rakyat," katanya.

Terdahulu, usul pengosongan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat dibawa oleh Perdana Menteri sebelum ia diluluskan setelah mendapat 111 undian yang menyokong berbanding 109 yang menentang.

Keseluruhan anggota Dewan Rakyat adalah seramai 222 orang, namun dua daripada mereka iaitu masing-masing seorang yang dipercayai menyokong kerajaan PN tidak hadir manakala seorang lagi tidak mengundi kerana mempengerusikan sidang.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, namun prinsip Perlembagaan itu tetap tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang gemar mempersoalkan keabsahan kerajaan yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

"Kelulusan usul daripada kerajaan pada hari ini akan dapat menutup mulut mereka, cuma persoalan yang timbul ialah dari sudut tahap sokongan yang sangat nipis.

"Dalam hal ini, kerajaan PN mempunyai tanggungjawab besar untuk melaksanakan tugas dengan cara yang terbaik demi kebaikan rakyat agar sokongan rakyat dapat mendorong ahli-ahli Parlimen memberikan kepercayaan yang padu kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, dari perspektif yang lain, Muhammad Fathi berkata, kekuatan yang ada pada pembangkang dari sudut bilangan kerusi Parlimen boleh meningkatkan budaya ‘semak dan imbang’ demi untuk kebaikan rakyat.

"Adalah diharapkan tidak berlaku usaha untuk membeli wakil rakyat demi untuk kepentingan politik sempit.

"Dalam situasi semasa, jika kerajaan PN hilang sokongan majoriti, tidak mustahil negara terpaksa berdepan dengan satu pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat. Soalnya, adakah rakyat bersedia untuk itu?" katanya.

Tegasnya, walau apa pun yang berlaku terutama ketika dunia khususnya Malaysia berdepan wabak koronavirus (Covid-19) dan ketidaktentuan ekonomi, fokus perlu diberikan kepada kesejahteraan rakyat serta masa depan negara.