Agama, sains saling melengkapi

SHAH ALAM - Pendekatan agama dan sains tidak seharusnya dilihat dua perkara bertentangan, sebaliknya saling melengkapi dalam membantu masyarakat memahami aspek kesihatan lebih menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Nurhayati Nordin berkata, kesihatan bukan hanya melibatkan keadaan fizikal, malah turut merangkumi kesejahteraan jiwa, pemikiran, akhlak dan persekitaran kehidupan seseorang.
Menurutnya, menerusi Konvensyen My#HadithTime 2026, WUIF buat julung kalinya menggabungkan pendekatan al-Quran dan hadis dalam mengetengahkan perbincangan berkaitan kesihatan.
"Langkah itu kesinambungan usaha WUIF yang lebih dikenali dengan pendekatan berteraskan al-Quran sebagai sumber utama rujukan dan panduan kehidupan manusia.
“Bila kita bercakap tentang kesihatan, ia bukan hanya mengenai fizikal atau jasad. Ia juga mesti melibatkan kesihatan jiwa, pemikiran, akhlak dan mengambil kira persekitaran kehidupan. Kekuatan rakyat atau masyarakat sebenarnya perlu dilihat daripada aspek manusia dan persekitarannya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Nurhayati berkata, perbincangan kesihatan yang dikaitkan dengan ilmu perubatan memerlukan pemerhatian, penelitian, tumpuan dan disiplin ilmu tertentu.
Justeru katanya, panduan al-Quran dan hadis perlu bergerak seiring dengan perkongsian kepakaran perubatan bagi membantu masyarakat memahami cara mengurus kesihatan tubuh badan.
“Al-Quran memberikan panduan kepada kita dalam kehidupan, manakala ilmu perubatan yang dikongsikan oleh panelis membantu kita memahami dan mengurus kesihatan tubuh badan manusia.
“Agama dan sains bukan sesuatu yang berlawan atau bertentangan, tetapi saling melengkapi,” katanya.
Mengulas perubahan yang diharapkan menerusi konvensyen itu, beliau berkata, WUIF mahu semua pihak berkepentingan memahami peranan masing-masing dalam membentuk budaya kehidupan yang mengutamakan kesihatan.
Menurutnya, masyarakat perlu memberi perhatian kepada disiplin pencegahan, termasuk mengamalkan gaya hidup seimbang dan mengetahui langkah yang perlu diambil untuk menjaga kesihatan sebelum penyakit menunjukkan simptom.
“Jangan sampai apabila sudah ada simptom, baru kita nak jaga kesihatan. Ini perubahan pemikiran yang kita mahu bawa iaitu mencegah sebelum merawat.
“Menjaga kesihatan adalah tanggungjawab yang ALLAH SWT minta kita pelihara dan kita juga akan ditanya di akhirat nanti mengenai apa yang kita lakukan terhadap tubuh badan ini,” katanya.
Beliau berharap peserta bukan sekadar memperoleh ilmu berkaitan kesihatan, sebaliknya membawa pulang kesedaran untuk mengubah cara hidup dan menjadi ejen perubahan kepada keluarga dan masyarakat.
Dalam pada itu, Nurhayati berkata, keyakinan bahawa ALLAH SWT ialah penyembuh tidak bermaksud manusia boleh mengabaikan usaha mendapatkan rawatan atau merujuk kepakaran perubatan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan tawakal kepada ALLAH SWT perlu disertai ikhtiar bersungguh-sungguh, termasuk mendapatkan nasihat doktor dan pakar.
"Justeru, memelihara kesihatan agar kita terus mampu berbakti dan memberi manfaat kepada ummah juga merupakan satu jihad yang harus sama-sama kita perjuang," katanya.
Konvensyen My#HadithTime 2026 bertemakan Prophetic Wellness: Who Heals You? akan berlangsung pada 6 Disember ini di Setia City Convention Centre, Shah Alam dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
