Dua nama calon exco dipersembah kepada Sultan Selangor

Amirudin (tiga dari kiri) pada sidang akhbar selepas sesi pagi Sidang DUN Selangor di Shah Alam hari ini.
Amirudin (tiga dari kiri) pada sidang akhbar selepas sesi pagi Sidang DUN Selangor di Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor telah mempersembahkan dua nama calon bagi mengisi kekosongan jawatan exco kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 9 Julai lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, buat masa ini, Sultan Selangor sedang meneliti tarikh yang bersesuaian bagi pelaksanaan Majlis Angkat Sumpah jawatan berkenaan selepas ini.

Beliau berkata, pihak istana atau kerajaan negeri akan membuat pengumuman tarikh tersebut selepas perkara itu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.

"Selangor mempunyai protokol dan istiadat tertentu. Majlis Angkat Sumpah itu akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang," kata beliau pada sidang akhbar selepas sesi pagi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan jawatan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor yang disandang oleh ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha dikosongkan selepas beliau dipecat menerusi keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Rabu lalu.

Selain itu, jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor turut kosong selepas penyandangnya, Datuk Abdul Rashid Asari menyertai blok pembangkang susulan perkembangan di peringkat Persekutuan.

Mengulas mengenai isu pejabat Haniza yang dikunci, Amirudin berkata, selepas pengumuman pengosongan jawatan itu dibuat, kerajaan negeri kemudiannya telah membenarkan pegawai Haniza untuk mengambil barangan mereka.

"Pegawai Haniza perlu diiringi wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor memandangkan sebahagian aset dalam unit berkenaan merupakan milik kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Justeru kita telah putuskan agar pegawai itu sendiri jumpa dengan kita hari Isnin tetapi (Haniza) nak buat isu pada hari Sabtu.

"Terima kasihlah. Its nothing. Tidak ada benda yang political just a normal process," katanya.

Tambah Amirudin, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan bersama bekas Ketua Wanita PKR itu pada 28 Jun lalu dan beliau turut meminta untuk terus memegang jawatan berkenaan sehingga 10 Julai.

"Kami tetap penuhi permintaan beliau untuk kekal sehingga tarikh itu kerana kerajaan negeri tahu jawatan itu memerlukannya untuk membuat agihan tugasan kepada pegawai-pegawai berkaitan," katanya.

-end-