UniKL tetap hormati lawan

Skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) - Foto Bernama
Skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) - Foto Bernama
A
A
A

PRESTASI tidak menentu pasukan Nurinsafi dalam saingan Liga Hoki Malaysia ketika ini tidak memberi jaminan buat skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk meraih mata penuh di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, Jumaat ini.

Pengurus UniKL, Datuk Amir Azahar Ibrahim berkata, bairpun lawan kini menghuni tangga kelima selepas berdepan tiga kekalahan besar di awal kempen, namun Nurinsafi membuktikan mereka mampu memberikan ancaman hasil kemenangan 2-0 ke atas UiTM, Ahad lalu.

"Setakat ini kami masih belum mencapai keserasian sepenuhnya selain menemui taktikal terbaik buat pasukan dan hanya masa yang akan menentukannya.

"Jadi kami tidak boleh mengambil mudah cabaran Nurinsafi selepas mereka berjaya mengatasi UiTM di samping mereka juga diperkuatkan kehadiran bekas pemain kebangsaan dan beberapa tonggak UniKL sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pengendali UniKL, Arul Selvaraj mengharapkan pasukannya dapat meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut selepas mereka membenam Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 dan UiTM 2-1 dalam aksi terdahulu.

"Kami setakat ini telah bermain tiga perlawanan (satu seri dan dua menang). Kunci utama adalah mengekalkan konsisten individu dan pasukan. Saya menjangkakan setiap pemain di atas padang dapat menampilkan persembahan terbaik apabila berdepan Nurinsafi nanti.

"Suasana dalam pasukan amat hebat. Jadi kami mahu mereka terus meningkat di setiap perlawanan selain memperbaiki kelemahan dari segi konsep dan taktikal permainan. Saya bersyukur kerana tahun ini kami mempunyai barisan pemain yang hebat," katanya.

UniKL yang kini menghuni tangga ketiga liga dengan tujuh mata dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu liga THT dan dua mata dipisahkan dengan pasukan tangga kedua TNB yang masing-masing telah mengharungi empat perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, UniKL tidak boleh memandang mudah keupayaan Nurinsafi yang kini dibarisi ramai pemain berpengalaman.