Dua isu jadi fokus perbahasan Parlimen

No Image Caption
A
A
A

MENJELANG Sidang Parlimen yang akan berlangsung esok, dua isu besar yang dijangka menjadi fokus perbahasan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat adalah berkaitan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri serta usul untuk menukar Speaker Dewan Rakyat serta timbalannya.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil ketika dihubungi turut mengakui perkara itu dan memberitahu beliau serta rakan-rakan ahli Parlimen lain juga sudah menerima aturan mesyuarat pada hari pertama Sidang Dewan Rakyat.

“Jadi antara isu besar yang akan dibangkitkan ialah usul oleh Perdana Menteri untuk menamatkan khidmat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming.

“Berhubung perkara itu, saya sendiri ada mengeluarkan kenyataan bersama beberapa ahli Parlimen lain bahawa kami akan menentang usul tersebut atas prinsip Mohamad Ariff telah menjalankan tugas beliau tanpa mengira parti atau tanpa menyebelahi mana-mana pihak malah usaha beliau sama ada dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta kumpulan rentas parti Parlimen amat baik,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau akan menumpukan perbahasan terhadap isu pembangunan serta kebajikan di kawasan Parlimennya tetapi lebih khusus berkaitan isu pandemik koronavirus (Covid-19).

“Saya juga akan usulkan undang-undang lebih spesifik kepada masalah yang dihadapi dalam menangani isu Covid-19 seperti contoh di negara lain terdapat undang-undang menghalang seseorang itu dihalau keluar rumah sewaktu tempoh pandemik tersebut kerana tidak mampu bayar sewa.

“Di negara kita tiada undang-undang sebegini sedangkan di kawasan saya terdapat beberapa kes berkaitan isu itu dan rata-ratanya mereka daripada golongan B40 dan M40,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fahmi
Fahmi

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau menjangkakan isu utama yang akan menjadi highlight pada Persidangan Dewan Rakyat kali ini berkaitan isu legitimasi kedudukan kerajaan pada hari ini.

“Ada banyak gelanggang atau usul yang harus kita beri perhatian termasuk usul tidak percaya kepada Perdana Menteri dan usul pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang menjadi perbualan hangat sejak awal minggu ini.

“Saya yakin bukan sahaja dalam kalangan ahli Parlimen yang tidak sabar untuk berbahas isu itu tetapi rakyat turut menanti untuk mengikuti perkembangan tersebut,” katanya.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, bagi isu berkaitan rakyat khususnya di Parlimennya, keutamaan beliau adalah untuk memastikan golongan sasar B40 dan golongan yang dianggap ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ benar-benar mendapat bantuan daripada pakej rangsangan ekonomi semasa tempoh Covid-19.

“Ini amat penting bagi saya supaya apa yang dikemukakan oleh kerajaan itu benar-benar sampai ke peringkat akar umbi dan perlu dibahaskan di Dewan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung esok akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa idea demi kepentingan rakyat.


Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

Katanya, perkara itu lebih penting berbanding memikirkan kemungkinan akan berlaku suasana panas susulan pelbagai isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini khususnya pertukaran Speaker dan timbalannya.

“Pada saya, panas atau tidak itu perkara kedua kerana yang paling penting ialah Parlimen menjadi tempat untuk membawa idea kita demi rakyat.

“Jadi, kalau pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) masih mahu lagi bermain politik saya kira sudah tentu penyelesaian yang terakhir ialah membubarkan Dewan (Parlimen) yang akan membawa natijah yang lebih teruk kepada PH.

“Saya tidak kisah sama ada bubar atau tidak bubar kerana rakyat sudah melihat bahawa PH tidak boleh diberikan mandat untuk mentadbir negara. Mereka sendiri menghadapi isu dalaman yang tidak mampu dikawal,” kata beliau.

Ahmad Fadhli berkata berkata, membubarkan Parlimen juga dilihat cara terbaik bagi mengukuhkan lagi cengkaman atau penguasaan kerajaan yang ada pada hari ini.

Menurutnya, rakyat juga sudah boleh menilai kerajaan sekarang atau sebelum ini yang berupaya mentadbir negara dengan baik.