X

Kindly register in order to view this article
!

Kembalikan kerusi Parlimen Sabak Bernam kepada UMNO, kata Noh

Noh menyampaikan surat tawaran pinjaman pelajaran Persekutuan JPA kepada G Sarvin Raaj di Taman Yu, Sungai Buloh, hari ini.
A
A

KUALA SELANGOR - UMNO Selangor memutuskan kerusi dimenangi UMNO seperti di Parlimen Sabak Bernam dikembalikan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerusi itu mesti dipulangkan kepada UMNO selepas penyandangnya, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh keluar UMNO dan menyertai Bersatu.

Menurutnya, kerusi Parlimen itu diandaikan seperti sebuah kereta yang ada pemiliknya tetapi dipandu oleh orang lain.

"Ibaratnya kereta masih milik UMNO tetapi pemandu di dalamnya bukan UMNO.

"Kalau calon sudah meninggalkan UMNO tidak apalah tapi kereta itu mesti dipulangkan dan dipandu semula oleh UMNO di Sabak Bernam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu Noh hadir menyampaikan surat tawaran pinjaman pelajaran Persekutuan Jabatan Perkhidmatan Awam JPA kepada seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), G Sarvin Raaj, 18, di Taman Yu, Sungai Buloh di sini hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, UMNO Bahagian Sabak Bernam juga telah menyuarakan perkara ini pada Mesyuarat UMNO Selangor.

"Jentera UMNO Sabak Bernam mengingatkan bahawa kemenangan calon pada PRU14 atas tiket BN bukan kerana calon, sebaliknya disebabkan jentera parti yang bekerja kuat bagi memastikan kerusi itu kekal milik BN," katanya.

Mengulas persediaan UMNO menghadapi PRU15, Noh berkata, parti sentiasa dalam keadaan bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk jika berlakunya PRU15.

"UMNO Selangor telah mengarahkan semua jentera di semua bahagian bersedia dan kita telah melantik Datuk Mohamad Satim Diman sebagai Ketua Naziran yang akan turun ke setiap bahagian untuk melihat jentera pilihan raya," katanya.

Selain itu, katanya, UMNO Selangor akan terus meningkatkan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) di negeri itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus