X

Kindly register in order to view this article
!

Felda berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan: Nancy

Nancy Shukri pada sidang media selepas melakukan lawatan di rumah penginapan Diamond Msha di Felda Mata Ayer hari ini. -Foto Bernama
A
A

PADANG BESAR - [DIKEMASKINI] Kelebihan masyarakat peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai sebuah komuniti yang unik boleh diketengahkan dan dimajukan sebagai produk pelancongan yang dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, komuniti itu juga boleh mempamerkan bakat mereka menghasilkan pelbagai produk sendiri seperti produk makanan dalam usaha menarik kehadiran pelancong.

Beliau berkata, sektor pelancongan tidak boleh bergerak tanpa penyatuan serta perpaduan masyarakat, dan kewujudan Felda itu sendiri menggambarkan kejayaan kerajaan membangunkan satu kelompok komuniti tanah rancangan yang cukup unik.

"Komuniti Felda adalah tarikan kepada orang luar, mereka (pelancong) dapat melihat bagaimana kita boleh menyatukan masyarakat kita melalui Felda," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa membuat lawatan di Homestay Diamond Msha, Felda Mata Ayer dekat sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama timbalan menterinya Datuk Dr Jeffrey G Kitingan melawat sembilan tempat pelancongan di Perlis antaranya ialah Gua Kelam, Muzium Kota Kayang, Taman Rimba Herba dan Warung Tepi Sawah.

Sementara itu, pengusaha Homestay Diamond Msha, Mahasa Chik, 55, berkata, beliau mendapat ilham menjadikan rumah sebagai inap desa daripada pengurusan Felda pada tahun 2006.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila saya menerima pengunjung bukan hanya dalam kalangan masyarakat tempatan malah pelancong luar negara yang tertarik dengan keunikan cara hidup masyarakat Felda," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus