Nelayan Vietnam makin galak 'kaut' gamat

Anggota APMM memeriksa peralatan menangkap gamat di atas bot nelayan Vietnam.
Anggota APMM memeriksa peralatan menangkap gamat di atas bot nelayan Vietnam.
A
A
A

KEMAMAN - Cubaan sebuah bot nelayan asing Vietnam merompak hasil laut gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) petang semalam di sekitar 42 batu nautika Timur Laut dari Kuala Kemaman.

Tangkapan itu dibuat semasa rondaan operasi susulan selepas penyerahan empat tangkapan oleh kapal KM SATRIA kepada Zon Maritim Kemaman kelmarin.

Pengarah APMM Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, setelah pemeriksaan dibuat bot itu dinaiki lima kru termasuk tekong yang berumur antara 36 hingga 58 tahun.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati bot itu tiada sebarang dokumen atau permit kebenaran yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia manakala kru berserta tekong gagal mempamerkan permit kerja yang sah dari Jabatan Imigresen," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat APMM Zon Maritim Kemaman petang semalam.

Selain bot turut dirampas ialah kira-kira 100 kilogram gamat, diesel anggaran 1,000 liter dan peralatan menangkap gamat yang dianggarkan bernilai sebanyak RM800,000.

Rashidilhadi berkata, kesemua kru dan tekong dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut dan khazanahnya daripada dicuri serta dirompak oleh nelayan asing," katanya.