Melaka struktur semula perkhidmatan bas Panorama

Roslan
Roslan
A
A
A

JASIN - Melaka akan menambah baik sistem pengangkutan awam di negeri ini menerusi pembelian beberapa bas Panorama menjelang Oktober depan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur Melaka, Datuk Roslan Ahmad berkata, rancangan pembelian bas itu bagi menstrukturkan semula perkhidmatan bas Panorama yang diselia di bawah Syarikat Panorama Sdn Bhd (PMSB) termasuk menstrukturkan semula kewangan.

Setakat ini, katanya, kebanyakan bas disewa dengan syarikat konsesi lain dan sudah tiba masa untuk anak syarikat kerajaan negeri itu memiliki aset bas sendiri, sekali gus mencapai syarat-syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Kita dalam proses untuk membeli satu dua bas baharu dalam masa terdekat ini. Secara tidak langsung akan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di Melaka.

"Pihak pengurusan bas sedang meneliti dan berbincang dengan bank yang boleh meluluskan pinjaman memandangkan kos pembelian bas dianggarkan menelan RM500,000 hingga RM600,000," katanya ketika Hari Bertemu Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Kampung Ayer Merbau di sini hari ini.

Roslan (duduk, tiga dari kanan) bersama jawatankuasa program dan agensi kerajaan pada Hari Bertemu Masyarakat DUN Merlimau di Kampung Ayer Merbau, Jasin hari ini.
Roslan (duduk, tiga dari kanan) bersama jawatankuasa program dan agensi kerajaan pada Hari Bertemu Masyarakat DUN Merlimau di Kampung Ayer Merbau, Jasin hari ini.

Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, pihaknya juga akan mengkaji semula lebih 30 laluan bas Panorama di negeri itu bagi memastikan kemudahan tersebut benar-benar dimanfaatkan orang ramai selain mengelakkan berlaku ketirisan terutama laluan yang kurang sambutan.

Malah, katanya, perjanjian antara syarikat konsesi bas yang disewa juga akan dikaji semula.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya perjanjian itu masih efektif dan relevan, perjanjian baharu akan dibuat dengan syarat tambahan. Jika sebaliknya, kita tidak teragak-agak untuk menamatkan perjanjian tersebut," katanya.

Terdahulu, lebih 100 penduduk hadir pada program berkenaan yang disertai kira-kira 14 agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Jasin dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bagi membolehkan orang ramai menyalurkan aduan dengan cepat supaya tindakan dapat diambil segera.