X

Kindly register in order to view this article
!

PREC nafi abai peniaga Kompleks PKNS, SACC Mall

PREC sentiasa memberi keutamaan terhadap nasib peniaga di Kompleks PKNS dan SACC Mall.
A
A

SHAH ALAM - PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menafikan dakwaan yang mengatakan nasib peniaga di Kompleks PKNS dan SACC Mall di sini tidak diberi perhatian oleh pihaknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, dakwaan dikemukakan oleh Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) itu adalah tidak tepat tanpa mengambil kira fakta sebenar serta usaha dijalankan pihaknya bagi membantu peniaga terlibat.

Beliau berkata, PREC pada akhir April lalu telah mengumumkan mengenai pemberian rebat sewaan sehingga 50 peratus bagi Mac dan 50 lagi untuk April bergantung kepada jenis perniagaan runcit (essential dan non-essential).

"Kemudian, satu lagi pengumuman dibuat iaitu pemberian rebat sehingga 30 peratus bagi Mei.

"Penangguhan pembayaran sewaan pada Mei dan Jun juga turut diberikan untuk membantu aliran tunai penyewa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Presiden Ikhlas, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah memaklumkan pihaknya akan berhimpun beramai-ramai di hadapan Bangunan SUK Selangor sekiranya isu peniaga kecil di Kompleks PKNS dan SACC Mall masih tiada pembelaan.

Peniaga yang menyewa premis itu dikatakan tidak diberikan pengecualian bayaran sewaan sehingga enam bulan sebagaimana diumumkan oleh kerajaan Persekutuan walaupun mereka kehilangan sehingga 90 peratus pelanggan akibat wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Fakru Radzi berkata, PREC telah mengatur satu pertemuan bersama Pejabat Menteri Besar Selangor bagi membincangkan cabaran perniagaan dalam kalangan penyewa yang disalurkan melalui Persatuan Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam (PPKPSA) sebelum ini.

"Susulan perjumpaan itu nanti, PREC akan berjumpa dengan PPKPSA dan wakil penyewa SACC Mall untuk bekerjasama bagi menganjurkan aktiviti promosi jualan di ruang promosi dengan kadar yang rendah sehingga Disember 2020.

"Kadar yang dikenakan adalah bagi menampung kos kelengkapan booth, manakala sewaan kepada penganjur adalah percuma.

"Selain itu, perjumpaan ini juga akan membincangkan kaedah untuk mengurangkan beban peniaga dan idea-idea merancakkan jualan penyewa melalui promosi dan acara," katanya.

Tambahnya, PREC kini juga proaktif membantu penyewa meningkatkan pendapatan jualan mereka dengan membelanjakan sejumlah kos untuk membangunkan sebuah platform e-dagang dikenali sebagai Bazaarlokal (www.bazaarlokal.com).

"Platform ini adalah bagi membolehkan mereka berniaga secara dalam talian dan menembusi pasaran luar bukan di dalam bangunan sahaja," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf