'Daftar PN ibarat beri 'sijil mati' kepada BN'

Tangkap layar kenyataan Dr Mohamad Khir Toyo di Facebook beliau hari ini.
Tangkap layar kenyataan Dr Mohamad Khir Toyo di Facebook beliau hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Desakan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (BN) adalah sama seperti mahu memberi 'sijil kematian' kepada Barisan Nasional (BN), kata bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohamad Khir Toyo.

Mohamad Khir berkata, langkah mendaftarkan PN hanya akan melumpuhkan kekuatan UMNO.

Beliau berkata, ia juga akan menyebabkan tidak ada lagi parti besar untuk orang Melayu, penguasaan orang Melayu dalam politik akan jadi lemah dan tidak ada lagi satu parti yang memiliki kerusi terbanyak dalam Parlimen.

"Kesannya juga menyebabkan tidak akan ada kerajaan yang stabil selepas ini. Ini kerana, mana-mana kerajaan akan tumbang apabila ada parti yang keluar daripada gabungan mengikut selera parti itu.

"Situasi kita hadapi hari akan kekal walaupun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau melihat bahawa hubungan UMNO dan Pas melalui perpaduan ummah seterusnya terhasil Muafakat Nasional seperti ada 'udang di sebalik batu'.

Menurutnya, Muafakat Nasional menjadi blok kuat pembentukan kerajaan PN kerana dengan sokongannya ia membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga parti adakan pertemuan kukuhkan PN

"Desakan Pas melalui kenyataan setiausaha agungnya dan diikuti dengan kenyataan timbalan presidennya supaya menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional merupakan gerakan awal untuk memecahkan penguasaan UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, desakan itu juga tidak lebih daripada 'memerah limau ke atas luka' dialami UMNO akibat daripada penubuhan Bersatu.

Katanya, Bersatu merupakan replika UMNO dan parti itu mengambil ahli Parlimen UMNO dengan cara 'mencuri di siang hari'.

"Apakah perasaan Pas jika Parti Amanah Negara (Amanah) juga diminta untuk menyertai Muafakat Nasional, dengan alasan yang sama iaitu demi perpaduan Melayu? Adakah Pas sanggup menerimanya?

"Pas wajar cuba untuk memahami situasi yang telah dilalui oleh ahli-ahli UMNO apabila wakil rakyat yang mereka pilih lompat ke Bersatu tanpa mengambil kira pandangan mereka," katanya.

Mohamad Khir selain itu mendakwa, Pas meneruskan usaha untuk melumpuhkan UMNO dengan mencadangkan PN didaftarkan sebagai satu gabungan politik yang berdaftar dan menjurus ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menggunakan lambang baharu.

"Ini bermaksud PN akan menggantikan BN. Parti komponen BN iaitu MCA dan MIC pasti akan meninggalkan BN dengan menjadi komponen PN.

"Ini telah terbukti ketika ketua-ketua parti daripada Sabah yang dahulunya komponen BN telah dijemput sekali dalam mesyuarat PN baru-baru ini. Begitu juga dengan MCA dan MIC," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kedudukan UMNO akan jadi sama tarafnya dengan parti-parti lain walaupun bilangan ahlinya boleh dihitung dengan jari dan tidak ramai seperti UMNO.