TNB rugi RM400,000 sebulan angkara bitcoin curi elektrik

Anggota unit khas pencegah kerugian TNB Zon Timur memotong kabel elektrik yang digunakan premis sindiket bitcoin pada Operasi Bitcoin minggu lalu.- Foto Ihsan TNB Pahang
Anggota unit khas pencegah kerugian TNB Zon Timur memotong kabel elektrik yang digunakan premis sindiket bitcoin pada Operasi Bitcoin minggu lalu.- Foto Ihsan TNB Pahang
A
A
A

KUANTAN - 19 premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perlombongan mata wang bitcoin di daerah ini dikesan melakukan penyambungan elektrik secara haram tanpa bermeter dalam Operasi Bitcoin minggu lalu.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, tindakan dilakukan sindiket terbabit menyebabkan TNB Pahang mengalami kerugian lebih RM400,000 sebulan.

Menurutnya, premis terbabit dikesan telah menggunakan kira-kira satu juta kilowatt (kw) kuasa elektrik secara haram sebulan berikutan menggunakan rangkaian komputer berkuasa tinggi yang beroperasi 24 jam.

Beliau berkata, pihaknya percaya penyambungan bekalan elektrik terbabit dilakukan oleh individu profesional.

"Hasil pemeriksaan mendapati kabel bersaiz besar digunakan bagi membolehkan kuasa elektrik lebih tinggi diterima.

"Perbuatan ini salah kerana boleh menyebabkan litar pintas. Sebelum ini sudah ada beberapa kes premis bitcoin di daerah ini terbakar disebabkan litar pintas berikutan penggunaan kuasa elektrik berlebihan secara berterusan 24 jam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi Bitcoin bersepadu minggu lalu disertai Suruhanjaya Tenaga dan Majlis Perbandaran Kuantan yang bertindak merampas pelbagai peralatan termasuk komputer.

Dalam pada itu, Rozianis berkata, berdasarkan rekod unit khas pencegah kerugian TNB Zon Timur mendapati kebanyakan premis berkenaan pernah diserbu sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun mereka tidak serik dan kembali beroperasi menggunakan tenaga elektrik secara haram," katanya.

Beliau menegaskan, tahun lalu TNB Pahang menanggung kerugian sebanyak RM3.2 juta angkara tindakan penyambungan elektrik secara haram oleh sindiket perlombongan mata wang bitcoin.