X

Kindly register in order to view this article
!

Kanun gesa SPRM lebih profesional siasat Setiausaha Politik Mat Sabu

Tangkap layar kenyataan Kanun di Facebooknya hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih profesional menjalankan tugas siasatan terhadap Mohd Azhar Che Mat Dali yang juga Setiausaha Politik Presiden Amanah.

Pengerusinya, Dr Zulqarnain Lukman mendakwa, tindakan SPRM tidak profesional apabila menggeledah rumah Mohd Azhar seolah-olah beliau terlibat dengan kes jenayah besar.

Zulqarnain turut menafikan laporan media yang mendakwa wang tunai pelbagai mata wang bernilai lebih RM70,000 turut disita daripada rumah Mohd Azhar atau pejabat Wisma Amanah Negara.

“Tiada wang tunai pelbagai mata wang bernilai lebih RM70,000 disita daripada rumah beliau atau pejabat Wisma Amanah sebagaimana yang dilaporkan di media.

“Ini adalah berita fitnah atau palsu dan bersifat mala fide atau berniat jahat terhadap Setiausaha Politik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kanun memaklumkan bahawa rumah Mohd Azhar digeledah antara jam 2 hingga 5 pagi dan pejabatnya di Wisma Amanah Negara di Kuala Lumpur turut digeledah selepas itu pada kira-kira jam 5.30 pagi semalam.

Kanun juga mendakwa bahawa kedua-dua penggeledahan itu didakwa dilakukan tanpa sebarang waran penggeledahan diserahkan kepada pemilik premis.

Dalam pada itu, Zulqarnain berkata, Mohd Azhar yang diminta hadir ke Pejabat SPRM berbuat demikian pada petang 7 Julai sebagai saksi kes dan bukan suspek terhadap kes yang sedang disiasat.

Bagaimanapun katanya, Mohd Azhar ditahan pada hari itu.

Sebelum ini dilaporkan Setiausaha Politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan bagi projek rundingan terus di Kementerian Pertahanan yang dianggarkan bernilai lebih RM56 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap lelaki itu bermula hari ini sehingga 13 Julai ini, selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus