Keputusan permohonan Ahmad Maslan batal pertuduhan 24 Julai ini

Ahmad (tengah) - Foto fail
Ahmad (tengah) - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menetapkan 24 Julai depan untuk keputusan terhadap permohonan Datuk Seri Ahmad Maslan bagi membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi kenyataan palsu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipertuduhkan ke atas beliau.

Hakim, Azman Ahmad menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak selesai berhujah, hari ini.

Dalam permohonan itu, peguam, Ahmad Hamidi Mohd Noh mewakili Ahli Parlimen Pontian tersebut memohon supaya pertuduhan berkenaan digugurkan dengan mendakwa tuduhan adalah tidak berasas kerana anak guamnya tidak pernah menerima cek RM2 juta daripada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang didakwa oleh pasukan pendakwaan.

“Maka tidak ada isu membabitkan tiada pengisytiharan cukai atau perlanggaran Seksyen 113 (1)(a) dan Seksyen 4 (1)(a),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengubahan wang haram: Permohonan Ahmad Maslan didengar 9 Julai

Ahmad Maslan, Shahrir mengaku tak bersalah

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar berhujah, permohonan pasukan pembelaan terlalu awal kerana fakta kes belum dibicarakan di mahkamah selain tidak berasas dan dilihat pramatang.

“Mahkamah perlu mendengar keterangan saksi sebelum memutuskan sama ada perbicaraan ini perlu atau tidak,” kata timbalan pendakwa raya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 Januari lalu, Ahmad mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerima cek RM2 juta dan gagal mengisytiharkan jumlah itu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, didakwa melanggar Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia membabitkan pertuduhan di bawah Akta Anti Pencucian Wang, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Aktiviti Tidak Sah (AMLA) 2001.

Dalam pertuduhan kedua, beliau dituduh memberikan kenyataan palsu kepada pegawai SPRM dengan menyatakan bahawa beliau belum menerima cek bernilai RM2 juta daripada Najib.

Ahmad didakwa menerima cek bank AmIslamic bertarikh 27 November 2013 daripada Najib.