Buat apa saya jumpa Asyraf Wajdi: Dr Abdul Latiff

Abdul Latiff Ahmad. - Foto sumber internet
Abdul Latiff Ahmad. - Foto sumber internet
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad memberitahu tiada keperluan untuk beliau bertemu dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, Pemuda UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dengan beliau atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang dinaunginya.

"Buat apa saya nak jumpa dia (Asyraf)? Dia bukan Presiden saya," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat perhimpunan bulanan KPLB, di sini sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN - UMNO parti tak laku: Abdul Latiff digesa letak jawatan

Enggan memanjangkan perbalahan dengan UMNO, beliau memahami selok belok orang politik.

"Dia (Asyraf Wajdi) bukan Ahli Parlimen. Saya faham dengan orang politik, buat apa nak panjangkan cerita," katanya.

Dr Abd Latiff berkata, permohonan maaf telah dibuatnya semalam dan menganggap isu tersebut telah selesai.

"Tutuplah balik (isu ini). Dah habislah," katanya ketika diasak pemberita berhubung keperluan untuk berjumpa dengan Exco Pemuda UMNO bagi menjelaskan isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai gesaan sesetengah pihak agar beliau melepaskan jawatan menteri, Dr Abd Latiff berkata, ia terpulang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Itu terpulang kepada Perdana Menteri. Beliau yang lantik saya," katanya.

Sebelum ini, Dr Abd Latiff dalam forum terbuka menyifatkan UMNO sudah tidak laku di Sabah.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk Asyraf Wajdi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa beliau melepaskan jawatan menteri.

Dr Abd Latiff kemudiannya membuat permohonan maaf.

Sementara itu, pada sidang media sama, beliau berkata, Kabinet telah bersetuju menjenamakan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

"Bagi negeri yang ditadbir oleh PN akan menggunakan JPKK manakala empat negeri pembangkang menggunakan JPKKP," katanya.