X

Kindly register in order to view this article
!

Setpol ditahan: Amanah tuntut SPRM bersikap profesional

Dr Mohd Hatta
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap profesional dalam menjalankan siasatan ke atas seorang setiausaha politik yang ditahan berhubung kes tuduhan rasuah petang semalam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, ini kerana tiada keperluan untuk SPRM memohon reman ke atas setiausaha politik kepada seorang pemimpin daripada sebuah parti itu memandangkan beliau mampu memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Tiada keperluan SPRM memohon penahanan reman. Hanya sekiranya beliau tidak hadir bila dipanggil dan tidak memberi kerjasama dengan SPRM mungkin ada alasan untuk dia direman.

"Amanah memandang serius tindakan SPRM yang bersifat keterlaluan dan kami memohon supaya beliau diberikan hak untuk bertemu peguam sejajar dengan prinsip hak asasi dan perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hatta berkata, kegagalan SPRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus boleh menimbulkan tanggapan bahawa tindakan suruhanjaya itu bermotif politik serta boleh menjejaskan imej mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendedahkan SPRM telah melakukan operasi penggeledahan di ibu pejabat parti di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur pada awal pagi ini.

Beliau mendakwa, tindakan geledah itu dilakukan tanpa dikemukakan terlebih dahulu dokumen waran geledah kepada pegawai keselamatan Wisma Amanah Negara dan ketika ditanya, waran dikatakan akan diserahkan kepada individu berkenaan yang dibawa bersama.

Terdahulu, SPRM menahan seorang setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM56 juta.

Majistret, Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap lelaki itu bermula hari ini hingga 13 Julai ini, selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

ARTIKEL BERKAITAN Setpol bekas menteri direman terima suapan jutaan ringgit


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus