Berdosa besar cuai solat Jumaat: Timbalan Mufti

Orang ramai menunaikan solat Jumaat dengan mematuhi SOP ketika pelaksanaan PKPP. Gambar hiasan. - Foto Bernama
Orang ramai menunaikan solat Jumaat dengan mematuhi SOP ketika pelaksanaan PKPP. Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Lelaki Muslim diingatkan tidak meninggalkan atau meremehkan solat Jumaat dengan sengaja tanpa keuzuran di sebalik kelonggaran syarak sebelum ini susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, lelaki Muslim wajib menunaikan solat Jumaat seperti dalil al-Quran dan hadis sahih berkaitan pensyariatan solat Jumaat, dosa serta ancaman bagi individu meninggalkan kewajipan itu tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak.

"Isu pandemik Covid-19 sebagai salah satu keuzuran yang dibenarkan syarak kepada sebahagian besar lelaki Muslim untuk tidak menunaikan solat Jumaat dalam tempoh beberapa minggu lalu adalah satu perkara yang mempunyai kewajaran dari sudut syarak bagi mengekang penularan wabak tersebut.

"Masjid-masjid kemudiannya dibenarkan menunaikan solat Jumaat secara berperingkat-peringkat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tetapi masih belum mampu menampung bilangan lelaki yang wajib menunaikan solat Jumaat," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Zamri berkata, jika surau yang didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dibenar mengadakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai Jumaat ini, tiada lagi alasan untuk masih cuai dan meremehkan solat Jumaat.

Zamri Hashim
Zamri Hashim

Jelasnya, antara bentuk tindakan meremehkan solat Jumaat dalam kalangan masyarakat termasuklah sengaja tidak pergi solat Jumaat walaupun nama tersenarai di dalam giliran menunaikan solat Jumaat atau sengaja memberikan giliran solat Jumaat kepada orang lain sedangkan tiada keuzuran syarak kepada dirinya.

Selain itu, tidak berusaha memaklumkan kepada ahli jawatankuasa masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan tidak berusaha datang awal ke masjid untuk solat Jumaat juga merupakan sebahagian perbuatan meremehkan solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan keputusan membenar semua surau melaksanakan solat Jumaat itu, semua ahli jawatankuasa masjid wajib memastikan semua surau yang berada di dalam kariah mereka berusaha menampung jemaah lelaki yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid atau Surau Diri Jumaat sedia ada.

"Bukan setakat membiarkan surau berkenaan memilih untuk melaksanakan solat Jumaat atau tidak kerana maksud kebenaran itu adalah untuk membolehkan semua lelaki Muslim solat Jumaat setiap minggu.

"Jangan sampai ada di kalangan lelaki-lelaki Muslim merasa lazat untuk berterus-terusan meninggalkan solat Jumaat sewenang-wenangnya begitu sahaja," katanya.

Hari ini, MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan semua surau di Perak yang berdaftar dengan MAIPk dibenar melaksanakan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPP bermula 10 Julai ini.

Kebenaran tersebut turut diberikan kepada surau-surau institusi pendidikan, kem tentera, berek-berek Polis Diraja Malaysia (PDRM), jabatan dan pejabat-pejabat kerajaan yang mempunyai ruang keluasan solat yang sesuai bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Perak benar solat Jumaat di surau