Teksi air seludup PATI ditahan

Teksi air dari Indonesia ditahan di perairan Johor Timur petang semalam.
Teksi air dari Indonesia ditahan di perairan Johor Timur petang semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebuah teksi air dari Indonesia yang membawa empat penumpang dan seorang tekong ditahan ketika cuba memasuki perairan Johor Timur petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, teksi air tersebut ditahan kapal ronda APMM ketika melaksanakan Op Benteng Laut pada kedudukan 7.5 batu nautika timur Tanjung Lompat pada jam 1.50 tengah hari.

"Pada mulanya kesemua penumpang dan tekong bot disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berumur lingkungan 24 hingga 43 tahun itu menyatakan mereka dalam perjalanan dari sebuah kapal tangki untuk bekerja.

"Namun selepas disiasat, kapal tangki itu tiada di tempat yang dinyatakan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua PATI ditahan menjalani ujian saringan Covid-19.
Kesemua PATI ditahan menjalani ujian saringan Covid-19.

Mohd Zulfadli berkata, kesemua individu yang ditahan menjalani saringan kesihatan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 44(3) Akta Kastam 1967 kerana membawa penumpang tanpa manifest yang sesuai baginya, Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa permit masuk yang sah dan Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah.

"Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara selama setahun bagi Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

"Bagi Akta Imigresen 1959/63 tertuduh boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan," katanya.

Tegasnya, APMM serius dalam memastikan perairan negara sentiasa dilindungi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk diambil tindakan yang sewajarnya.