X

Kindly register in order to view this article
!

MCCF sanggah tuduhan Al Jazeera PATI dilayan seperti binatang

Dokumentari Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia's Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mendakwa terdapat isu perkauman dalam mengendalikan Covid-19 di Malaysia. (Halim Ishak)
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyanggah laporan saluran berita antarabangsa, Al Jazeera yang menuduh Malaysia melayan pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti binatang.

Pengerusinya, Halim Ishak berkata, laporan tersebut lebih cenderung mencari kesalahan dan bukan melaporkan cara Malaysia menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan warga asing.

"MCCF menyanggah tuduhan yang mengatakan PATI dilayan seperti anjing di Malaysia. Walhal kerajaan hanya menjalankan penguatkuasaan undang-undang.

"Sekiranya mereka (PATI) dilayan seperti binatang, kenapa majoriti mereka tidak mahu pulang ke negara asal? Ini menunjukkan bahawa mereka memperakui kerajaan Malaysia tidak berlaku zalim ke atas PATI," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan dokumentari Al Jazeera bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat mendakwa terdapat isu perkauman ketika mengendalikan pandemik Covid-19.

Video yang disiarkan di saluran rasmi Youtube Al Jazeera English kelmarin itu turut mencetuskan kemarahan rakyat di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Laporan Al Jazeera cemarkan imej negara'

Berikutan itu, netizen turut mengadakan petisyen supaya agensi berita Al-Jazeera membuat permohonan maaf kerana menyebarkan berita tidak benar selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan.

Mengulas lanjut, Halim menegaskan, laporan yang dibuat Al Jazeera tidak tepat mengenai isu kebanjiran warga asing selain dakwaan bahawa negara ini menguatkuasakan perintah berkurung atau 'lockdown' juga tidak tepat kerana ketika itu kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, Malaysia memang memerlukan pekerja asing yang sah bagi mengisi pekerjaan pembangunan negara namun PATI sememangnya tiada hak di semua negara.

"Negara jiran, Singapura juga mengenakan hukuman rotan kepada PATI yang berada di negara mereka manakala Malaysia hanya mengenakan hukuman denda dan pengusiran balik.

"Pihak wartawan Al Jazeera tidak bertanggungjawab dalam laporan yang berat sebelah ini dengan tujuan memburukkan nama Malaysia di mata dunia.

"Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia, kami menyokong penuh tindakan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan menangani isu PATI semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) diadakan," katanya.

Susulan itu, beliau menggesa supaya kerajaan tidak gentar dengan ancaman pihak luar.

"Malaysia sebuah negara berdaulat dan kami tidak perlu pihak luar untuk mengajar cara kita mengurus tadbir pentadbiran dan keselamatan negara," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus