Ibu mengaku anak tiada di rumah elak dicekup AADK

Seramai 10 lelaki ditahan AADK dalam serbuan dijalankan di sekitar daerah Kuala Muda semalam. Foto: AADK
Seramai 10 lelaki ditahan AADK dalam serbuan dijalankan di sekitar daerah Kuala Muda semalam. Foto: AADK
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang ibu sangup mengaku anaknya tiada di rumah ketika diserbu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Taman Sri Utama, Gurun semalam.

Tindakan itu dipercayai bagi memberi ruang kepada anak lelakinya yang berusia 25 tahun meloloskan diri melalui pintu belakang rumah.

Bagaimanapun, helah mereka terbongkar apabila disedari penguat kuasa AADK sebelum berjaya mengejar dan menahan lelaki terbabit.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, ujian saringan yang dilakukan ke atas lelaki itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, dalam operasi sama, AADK berjaya mengesan seorang lelaki yang bersembunyi di siling rumah di Kampung Berjaya, Jeniang kerana takut ditahan.

"Hasil saringan mendapati lelaki yang berusia 32 tahun itu positif dadah jenis morfin dan methamphetamine," katanya.

Tujuh lokasi diserbu AADK di sekitar daerah Kuala Muda semalam. Foto: AADK
Tujuh lokasi diserbu AADK di sekitar daerah Kuala Muda semalam. Foto: AADK

Menurutnya, operasi bermula 8.30 pagi hingga 6.00 petang semalam diketuai Ku Marulazwan Ku Mansor telah menyerbu tujuh lokasi antaranya di Jeniang, Gurun dan Bedong serta berjaya menahan 10 lelaki berusia antara 25 hingga 50 tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil saringan mendapati dua individu positif dadah jenis morphine manakala lapan daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan morphine.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 (1 ) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998, " katanya.

Dalam pada itu, Arnida berkata, AADK mengharapkan agar ibu bapa dan masyarakat memberi kerjasama dalam usaha pencegahan sekaligus mendapatkan rawatan dan pemulihan bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah dalam komuniti.