X

Kindly register in order to view this article
!

Terlalu sedih, adik bongsu arwah hampir pengsan

Che Normas yang hampir rebah dan pengsan kerana terlalu sedih apabila diberitahu mayat Encik Wadi sudah dijumpai selepas tujuh hari terbabit dalam insiden bot terbalik.
A
A

BACHOK - Adik bongsu kepada mangsa ketujuh dalam tragedi bot terbalik, Encik Wadi Bakar hampir pengsan ketika mahu membuat pengecaman jenazah abangnya di Jeti Perikanan Kemasin di sini, hari ini akibat terlalu sedih.

Che Normas Bakar, 35, tiba di jeti itu pada jam 1.15 tengah hari menangis apabila diberitahu mayat tersebut adalah Allahyarham Encik Wadi yang juga anak kelima daripada tujuh beradik.

Tangisannya semakin kuat kira-kira 10 minit hingga dia hampir rebah dan pengsan sebelum dipapah keluarga serta anggota SAR yang berada di lokasi dan berikutan itu, Che Normas tidak dapat melakukan pengecaman di jeti berkenaan kerana tidak dapat menahan kesedihan itu.

Mayat Encik Wadi Bakar, 44, yang hanyut ke arah Timur Laut di laut terbuka ditemui nelayan kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Mayat Encik Wadi Bakar, 44, yang hanyut ke arah Timur Laut di laut terbuka ditemui nelayan kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Pengecaman di lokasi dibuat oleh seorang lagi adik mangsa, Che Suhaimi Bakar, 41, yang turut berada di jeti tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat ketujuh mangsa bot karam ditemukan

Menurut Che Suhaimi, mereka sekeluarga sebelum itu berada di rumah di Kedai Buloh, Kota Bharu ketika dimaklumkan mengenai penemuan satu mayat sebelum diminta datang untuk membuat pengecaman.

“Saya cam dia berdasarkan baju T berwarna biru dan seluar paras lutut yang dipakai kerana melihat dia keluar untuk membawa pemancing pada petang Isnin lalu.

“Arwah seorang yang periang tetapi akhir-akhir ini lebih banyak berdiam diri sebelum insiden bot terbalik. Kami sekeluarga reda dan bersyukur mayat sudah ditemui,” katanya dengan linangan air mata.

Mayat Encik Wadi ditemui hanyut ke arah Timur Laut di laut terbuka oleh nelayan kira-kira jam 10.30 pagi hari ini, sebelum dibawa ke jeti sekitar jam 12.22 tengah hari.

Jenazah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dalam kejadian jam 8.30 malam Isnin lalu, bot dinaiki 20 individu terbalik akibat dipukul ribut dan ombak besar di perairan Kemasin. Insiden tragis berkenaan mengorbankan lapan lelaki manakala 12 lagi mangsa selamat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus