X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga anggota polis trafik minta rasuah ditahan

Ayob Khan Mydin Pitchay - Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan bagi membantu siasatan meminta rasuah daripada seorang pemandu lori ketika melakukan sekatan jalan raya semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga mereka berusia antara 32 hingga 39 tahun.

"Anggota polis terbabit ditahan selepas pemandu lori membuat aduan mereka meminta RM4,000 kerana membawa lebih muatan. Bayangkan kalau tiga lori mereka sudah meminta sehingga RM12,000.

"Mereka bertiga akan melakukan kegiatan itu ketika melakukan sekatan jalan jalan raya menerusi Ops Perdagangan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Pada awal bulan lalu, seramai 23 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ditahan dari 13 hingga 18 Jun lalu disusuli serbuan pada 23 dan 25 Jun lalu kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran dan dadah.

Terbaru pada 1 Julai lalu seorang Penolong Pengarah Imigresen yang bertugas di sebuah kompleks pejabat imigresen di daerah ini ditangkap kerana disyaki bersekongkol dengan aktiviti penyeludupan migran.

Suspek yang berusia 50 tahun ditahan di tempat kerjanya dan penangkapan itu merupakan jawatan paling tinggi setakat ini melibatkan pegawai penguat kuasa di negeri yang terlibat dengan aktiviti tersebut.

Ayub Khan berkata, siasatan terhadap mereka tidak diserahkan kepada pihak Pengurusan Aduan, Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya dibuka kertas siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (OCCI).

Mereka katanya, akan disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (Pemerasan) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat.

"Kenyataan daripada pihak saksi sudah diambil, apabila cukup bukti akan dituduh di mahkamah. Sekarang tiada lagi siasatan dalaman. Kita tidak ada tolak ansur lagi jika ada anggota polis Johor terbabit rasuah," katanya.

Tegas beliau, mereka akan disiasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya mahu membersihkan elemen-elemen negatif dalam pasukan polis Johor.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!