X

Kindly register in order to view this article
!

Panggung wayang asing tempat duduk lelaki, wanita bukan mahram

Antara gegantung yang dipaparkan di LFS Kuala Terengganu bagi memberi hebahan dan maklumat kepada pengunjung mengenai penguatkuasaan zon pengasingan di panggung wayang berkenaan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square di sini melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga bermula kelmarin.

Pengurus LFS Kuala Terengganu, Mohd Zulmajdi Razali berkata, pelaksanaan peraturan baharu itu dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya menerima arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan baharu itu kepada semua pelanggan yang berkunjung ke tempat berkenaan.

“Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Zulmajdi berkata, pihak pengurusan LFS bertanggungjawab untuk melakukan pengasingan lelaki dan wanita bukan mahram serta membuat pemantauan di dalam panggung wayang sekiranya berlaku keadaan atau situasi mencurigakan.

“Bagi panggung wayang yang keluasannya agak kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan manakala bagi dewan yang agak luas, kita telah bahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga namun bergantung kepada keadaan semasa di mana terdapat juga pengunjung lelaki atau wanita ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan menjaga batasan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, buat sementara ini, sebarang tempahan tiket hanya dilakukan secara manual di kaunter tiket di panggung wayang tersebut berikutan tempahan secara dalam talian ditutup buat masa ini berikutan pelaksanaan peraturan baharu itu.

“Ini termasuk juga perancangan untuk membuka kiosk bagi pelanggan membuat tempahan tiket sendiri. Kiosk itu juga ditutup buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada peraturan itu tertakluk kepada bukan Islam beliau berkata, ia tertakluk kepada semua pelanggan termasuk bukan Islam.

Beliau berkata, memandangkan peraturan itu masih baharu diperkenalkan, pihaknya sedia melaksanakan sebarang penambahbaikan bagi membolehkan ia dipatuhi oleh semua pelanggan.

“Ini adalah peraturan baharu dan boleh dikatakan LFS Kuala Terengganu adalah panggung wayang pertama yang melaksanakan peraturan ini di Malaysia. Setahu saya belum ada lagi panggung wayang lain yang menguatkuasakan zon pengasingan sebegini.

"Jadi kita di peringkat pengurusan pun masih baharu dengan peraturan ini dan bersedia untuk memperbaiki sebarang kelemahan bagi memastikan kepuasan pengunjung yang datang ke sini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!