Jiran mengamuk bawa parang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DUNGUN - Seorang peneroka berdepan detik mencemaskan apabila diserang dan diugut jirannya dengan sebilah parang dalam kejadian di sebuah rumah di Ketengah Jaya di sini petang Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang, mangsa berusia 64 tahun dikejutkan dengan kehadiran jirannya itu yang tidak berpuas hati dengannya kerana didakwa bercerita mengenai hal keluarganya kepada penduduk kampung.

Menurut sumber, suspek bertindak agresif selepas mangsa menafikannya.

"Suspek cuba masuk ke dalam rumah mangsa namun selepas dihalang suspek beredar.

"Namun beberapa minit kemudian suspek datang semula ke rumah mangsa dengan membawa sebilah parang sambil menjerit dan mengugut mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, jiran-jiran berdekatan yang terdengar jeritan suspek segera ke lokasi kejadian untuk menenangkan suspek.

"Mangsa yang risau dengan keselamatan diri dan ahli keluarganya tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mangsa.

Artikel Berkaitan:

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.