Demi selamatkan pakcik, Faris anak yang baik

Al Sultan Abdullah (dua, kanan) beramah mesra dengan Mohd Syukor (tiga, kanan) selepas berkenan melawat rumajnya di Perumahan Dato Shahbandar di sini, hari ini.
Al Sultan Abdullah (dua, kanan) beramah mesra dengan Mohd Syukor (tiga, kanan) selepas berkenan melawat rumajnya di Perumahan Dato Shahbandar di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Keluarga Mohammad Faris,16, yang mati lemas ketika memancing di Sungai Pahang berdekatan Kampung Tanjung Medang di sini, Ahad lalu reda dengan kejadian tersebut.

Menganggap perkara itu takdir yang perlu diterima sebaiknya sebagai hamba ALLAH SWT.

Ayahnya, Mohd Shukor Ahmad Gundal,56, berkata walaupun anaknya lemas kerana mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan bapa saudaranya, Abdul Rahim Abdul Manaf, 19, namun ia merupakan perbuatan mulia seperti dinyatakan dalam al-Quran.

“Arwah anak saya ada pelihara empat ekor burung. Semalam masa bawa burung-burung ini ke kuburnya, semua pun tak terbang jauh.

"Burung-burung tu berpusing sekitar batu nisannya sebelum terbang ke pokok dan berkicau kuat," ceritanya dalam keadaan begitu tenang.

Katanya, dengan kicauan burung itu, ia dianggap petanda mengenai sikap arwah anaknya yang sangat menyayangi haiwan.

No Image Caption

"Dia sanggup menghabiskan duit membina zoo mini di belakang rumah kami ini. Dia memang anak yang baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima lawatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di rumahnya di Perumahan Dato Shahbandar di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahim ketika menceritakan detik hitam itu, berkata dia dan Mohammad Faris ketika itu sedang memancing udang di sungai berkenaan bersama beberapa ahli keluarga kira-kira jam 11 lagi, Ahad lalu

Mereka berdua ke kawasan berpasir untuk melepaskan mata kail miliknya yang tersangkut pada pancing Mohammad Faris dan secara tiba-tiba dia terpijak pasir jerlus menyebabkannya terjatuh dalam sungai.

“Faris tengok saya terkapai-kapai terus tolong, tapi dia pun terjerlus ke dalam sungai... kami berdua tak tahu berenang menjerit minta bantuan.

“Saya beberapa kali tenggelam timbul dan banyak terminum air sungai, saya sudah reda jika ditakdirkan ‘pergi’... sempat juga saya mengucap dua kalimah syahadah dan pada masa sama cuba selamatkan diri dan Faris," ceritanya.

Dalam kekalutan mereka berdua, secara tiba-tiba, Faris menyelam dan menolak pakcik saudaranya itu menggunakan bahunya.

"Saya tercampak ke tebing sungai, tapi, Faris tak ada... dia tenggelam," katanya.

Dalam pada itu, Al Sultan Abdullah bertitah, papan tanda amaran perlu didirikan di kolam dan sungai berisiko sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai sebarang bahaya.

“Walaupun kejadian seperti ini adalah ketentuan ALLAH SWT namun langkah berjaga-jaga perlu dilakukan,” titahnya.

Baginda juga turut menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa.