Tiga sekolah terima tajaan alat pengimbas haba

Sze Han (tiga dari kanan) dan M Packiam (kiri) mendengar taklimat mengenai kaedah penggunaan alat pengimbas haba berkenaan daripada Mike Lee.
Sze Han (tiga dari kanan) dan M Packiam (kiri) mendengar taklimat mengenai kaedah penggunaan alat pengimbas haba berkenaan daripada Mike Lee.
A
A
A

PUCHONG – Tiga buah sekolah yang mempunyai jumlah murid dan pelajar paling ramai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima tajaan alat pengimbas haba daripada KiplePay Sdn Bhd, anak syarikat Green Packet Bhd.

Tajaan alat pengimbas haba itu diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Puchong Batu 14; Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (1) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yak Chee, Bukit Kuchai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, sumbangan itu bagi memudahkan pihak sekolah melaksanakan pemeriksaan suhu badan sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sumbangan peralatan berkenaan dapat membantu pihak sekolah mematuhi SOP supaya guru mengambil suhu pelajar sebelum dibenarkan masuk ke dalam kelas semasa sesi persekolahan kembali dibuka pada 15 Julai ini.

“Saya faham SOP ditetapkan ini akan mengambil masa yang panjang, kalau guna pengimbas haba biasa mungkin memakan masa hampir lima saat bagi setiap murid. Jika guna alat yang ditaja ini hanya satu saat masa diperlukan bagi mengambil suhu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan alat pengimbas haba berkenaan yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kiplepay Sdn Bhd, Mike Lee.

Sze Han dalam pada itu berharap lebih banyak unit pengimbas haba dapat disumbangkan kepada sekolah-sekolah lain bagi memudahkan pihak sekolah mematuhi SOP ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

M Packiam (kiri) menjalani pemeriksaan suhu badan menggunakan alat pengimbas haba yang disumbangkan kepada sekolah berkenaan sambil disaksikan Sze Han (dua dari kiri).
M Packiam (kiri) menjalani pemeriksaan suhu badan menggunakan alat pengimbas haba yang disumbangkan kepada sekolah berkenaan sambil disaksikan Sze Han (dua dari kiri).

Dalam pada itu, Guru Besar SJKT Puchong Batu 14, M Packiam mengucapkan terima kasih atas sumbangan peralatan teknologi canggih pihak syarikat berkenaan kepada sekolahnya.

Katanya, ia akan membantu memudahkan tugas guru bagi mengambil suhu setiap murid yang datang dan pulang ke sekolah setiap hari.

“Sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi dan ramai murid akan masuk ke dalam kawasan sekolah.

“Dengan alat ini ia memudahkan kerja kami sekaligus kami mendapat perincian mengenai suhu badan murid dan pelajar setiap hari,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan setiap sekolah termasuk sekolah berasrama penuh mematuhi sepenuhnya SOP KKM bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).