X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Chini contoh kerjasama erat Muafakat Nasional

Tuan Ibrahim ditemui media selepas ceramah Muafakat Nasional di sini, malam tadi.
A
A

PEKAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini esok menjadi contoh terbaik berhubung kerjasama erat Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada PRK ini, pimpinan UMNO dan Pas berjaya mengetepikan perbezaan sebaliknya bersatu dan memberi sokongan penuh kepada calon BN, Mohd Sharim Md Zain.

Menurutnya, jentera Pas yang hampir setiap hari turun di semua peti undi dan beliau yakin dengan kerjasama itu bakal membuahkan hasil yang baik.

"Keseluruhannya saya berpuas hati dengan jentera Pas dan saya berterima kasih kepada Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar, kepimpinan negeri dan jentera yang datang sepanjang tempoh berkempen.

"Kerjasama MN ini juga jelas dapat dilihat apabila Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang sebelum ini beberapa kali menjadi calon Pas di DUN Chini menentang calon UMNO kini menjadi pencadang kepada calon BN PRK DUN Chini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program ceramah MN di Bandar Dara Chini, di sini, malam tadi.

Turut hadir pemimpin UMNO terdiri daripada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan, Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pemimpin Pas yang hadir antaranya Ketua Dewan Pemuda, Khairil Nizam Khirudin.

Hadir sama, Pengarah Operasi PRK Chini, Datuk Seri Najib Tun Razak, calon BN, Mohd Sharim Md Zain dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tuan Ibrahim berkata, kerjasama itu menunjukkan pimpinan kedua-dua parti mengutamakan kepentingan rakyat.

"Saya tengok ada satu hikmah yang terselindung setiap kali ada pilihan raya kecil termasuk di Chini ini yang kesebelas selepas PRU14.

"Kita lihat momentum dari PRK Cameron Highlands terus menaik sehingga Pakatan Harapan (PH) tidak letak calon bagi PRK Chini ini.

"Saya tengok momentum ini berkekalan. Sama ada PRK ini yang terakhir atau bagaimana kita tidak tahu," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyatakan sokongan penuh kepada calon BN dan kita juga telah membuat kenyataan bahawa kita sepakat Pas, UMNO dan parti komponen lain untuk mengekalkan beliau sebagai Perdana Menteri pada PRU15.

"Sokongan ahli Pas, insya-ALLAH pada pengalaman saya, mereka ini setia. Bila parti buat keputusan mereka akur. Saya tidak risau tentang itu, mereka akan keluar mengundi dan memilih calon yang diputuskan pimpinan parti," katanya.

Beliau juga berkata, kerjasama Muafakat Nasional juga komited dengan persetujuan bahawa dalam PRU15, pertandingan adalah satu lawan satu antara Perikatan Nasional (PN) dan parti lawan.

Sementara itu, Mohamad meminta pengundi menggandakan jumlah majoriti bagi memberi isyarat terhadap kerjasama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Beliau berkata, undi daripada Pas dan BN mampu memberikan kemenangan besar serta penyertaan Perikatan Nasional bersama Bersatu juga diyakini mampu meraih sokongan pengundi.

“Ini adalah PRK pertama selepas penubuhan PN, dan kita mahu angka yang kita boleh jadikan sebagai rujukan untuk PRU akan datang,” katanya.

Menurutnya, beliau sendiri bangga apabila Perdana Menteri menyatakan secara terbuka sokongan beliau terhadap calon BN yang juga mewakili Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

"Ini akan memberikan impak yang baik kepada sokongan pengundi. Jentera kempen nampaknya berjalan baik dan pelbagai program telah kita atur tetapi yang jelasnya PRK Chini ini punya bahang dan suasana tidak seperti PRK biasa.

"Walaupun suasananya tenang tapi kita nak pastikan supaya menang dengan majoriti besar agar kemenangan ini bakal menjadi petunjuk dan angkanya boleh kita rujuk untuk menghadapi PRU15," kata beliau lagi.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!