Pihak tular surat berniat jahat: Muzzammil

Gambar surat Muzzammil yang dimuat naik di media sosial.
Gambar surat Muzzammil yang dimuat naik di media sosial.
A
A
A

ALOR SETAR - Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muzzammil Ismail menyifatkan penularan surat berkaitan dirinya memohon jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan GLC Kedah sebagai cubaan memburukkan imejnya oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, tindakannya mengutus surat berkenaan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bukan satu kesalahan mahupun menyanggahi undang-undang.

Namun beliau kesal kerana ada pihak tertentu bertindak 'nakal' menularkan gambar surat tersebut.

"Surat itu tiada satu patah perkataan yang bercanggah dengan undang-undang, integriti atau rasuah.

Penyebaran surat itu tidak lebih daripada tindakan nakal pihak tertentu yang cuba memburukkan imej saya, terutama ketika parti akan berhadapan pemilihan tidak lama lagi," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, tular gambar surat Muzzammil yang dimuat naik di media sosial mendedahkan surat bertarikh 1 Jun itu dihantar kepada Muhammad Sanusi untuk mohon pertimbangan sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah agensi kerajaan negeri atau GLC.

Mengulas lanjut, Muzzammil berkata, tawaran tersebut sesuai dengan kelayakan akademik dan pengalaman kerjanya yang dilampirkan bersama surat dikemukakan.

Menurutnya, perbuatan pihak berkenaan menyebarkan gambar surat itu berniat jahat dan menimbulkan fitnah serta prejudis terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

"Fokus utama saya ialah bantu kerajaan dan rakyat melalui khidmat politik dan profesionalisme saya," katanya.

Muzzammil berkata, beliau terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan pihak Pejabat Menteri Besar sebelum menulis surat secara formal.

"Ia hanya surat biasa seperti mohon kerja di syarikat, berdasarkan pengalaman dan kelayakan.

Kalau ada unsur tidak integriti saya bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM)," katanya.

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi

Sementara Muhammad Sanusi ketika dihubungi menegaskan, kesemua GLC Kedah masih dalam penyusunan semula.

"Ada GLC peringkat Persekutuan seperti Keda, lantikan adalah bawah urusan pihak Persekutuan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan surat tular berkenaan.