Putin ucap terima kasih kepada rakyat Rusia

Vladimir Putin
Vladimir Putin
A
A
A

MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin mengucapkan terima kasih kepada rakyatnya selepas undi di seluruh negara meluluskan pembaharuan Perlembagaan kontroversi yang membolehkannya melanjutkan pemerintahan sehingga tahun 2036.

"Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan anda," kata Putin dalam ucapan yang disiarkan di televisyen tempatan selepas pengumuman daripada suruhanjaya pilihan raya Rusia menunjukkan hampir 78 peratus pengundi menyokong pindaan undang-undang dasar.

Putin mengulangi bahawa pindaan tersebut diperlukan bagi memperbaiki sistem politik, mengukuhkan jaminan sosial dan mengukuhkan kedaulatan.

Beliau bagaimanapun tidak menyentuh tentang fakta bahawa perubahan itu turut menetapkan semula tempoh Perlembagaan, membenarkannya untuk terus berada di Kremlin selama 12 tahun lagi selepas penggal semasanya berakhir pada 2024.

"Masa berlalu begitu pantas sejak Rusia bebas daripada Kesatuan Soviet. Kita masih rentan dalam banyak aspek. Kita memerlukan kestabilan dalaman dan masa untuk mengukuhkan negara serta institusi-institusinya," katanya.

Putin mendakwa beliau faham dengan mereka yang menentang pindaan tersebut yang menganggap masih banyak masalah belum diselesaikan.

"Tetapi hasil pungutan suara menunjukkan majoriti rakyat Rusia percaya bahawa kita dapat bekerja dengan lebih baik dan pemerintah perlu melakukan segalanya untuk merealisasikan kepercayaan ini," kata Putin. - AFP

Artikel Berkaitan: