Tidak lagi berniaga haram, 80 penjaja dapat permit sementara

Annuar menyampaikan surat tawaran permit sementara waktu terhad PKPP kepada peniaga, Mat Yusof Mahmud di Setapak Indah, Kuala Lumpur hari ini.
Annuar menyampaikan surat tawaran permit sementara waktu terhad PKPP kepada peniaga, Mat Yusof Mahmud di Setapak Indah, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 80 peniaga di sepanjang Jalan Setapak Indah di sini menerima surat tawaran permit sementara waktu terhad Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemberian itu selari dengan hasrat kerajaan untuk memberi peluang kepada rakyat yang ingin mencari rezeki, menambah pendapatan selain membantu mereka yang hilang pekerjaan kesan wabak koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, penyerahan lesen dalam skala besar itu akan menjadi indikator sebelum pelaksanaan itu diteruskan ke kawasan lain pula.

"Ini tempat pertama saya beri kelonggaran dalam kuantiti banyak. Jika penjaja di sini tidak uruskan dengan baik, mereka akan menyusahkan penjaja di tempat lain untuk dapatkan lesen.

"Tetapi jika penjaja di sini dapat buktikan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memberikan kerjasama dan tidak salah gunakan lesen dengan memberinya kepada orang lain, kita akan pertimbangkan ke tempat-tempat lain pula selepas ini," katanya selepas menyerahkan surat tawaran permit sementara tersebut kepada peniaga terlibat di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Annuar berkata, peniaga perlu menghargai usaha DBKL yang memberikan kelonggaran permohonan lesen itu dengan mematuhi syarat dan tidak menyebabkan kesesakan atau halangan kepada pengguna di jalan tersebut.

"Apabila diberikan lesen, bukan bermakna bebas. Semua hendaklah bersedia patuhi syarat terutama penjagaan dan prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan DBKL.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga perlu mengutamakan kebersihan dan pengurusan sampah, susunan gerai penjaja yang sistematik supaya tidak berlaku kesesakan selain pemakaian apron dan sarung tangan," katanya.

Terdahulu, DBKL membekukan lesen penjaja gerai tepi jalan sejak 1 Januari 2016 bagi membendung kegiatan penjaja jalanan yang tidak berlesen sebelum digantikan lesen penjaja terhad bermasa pada 15 April lalu.

Sementara itu, seorang peniaga yang ditemui, Mat Yusof Mahmud, 58 berkata, dia yang meniaga nasi campur sejak empat tahun lalu rasa lega dengan pemberian permit sementara itu.

"Bukan saya tak pernah cuba nak minta lesen, tapi DBKL sudah lama tidak buka lesen penjaja. Pernah beberapa kali juga disaman tapi saya teruskan juga berniaga sebab mahu sara empat anak yang masih bersekolah.

"Saya lihat selepas DBKL longgarkan lesen penjaja baru-baru ini, penjaja di sini semakin bertambah daripada hanya empat ke lima gerai tetapi sekarang mencecah hampir seratus peniaga," katanya.

Seorang lagi peniaga, Nor Aslinda Azman, 43, berkata, dia gembira dengan pemberian lesen itu, bagaimanapun berharap tempoh masa niaga tidak dihadkan kepada empat jam sahaja.

"Saya biasanya meniaga dari jam 11 pagi hingga 6 petang melainkan jika jualan habis awal. Jadi tempoh masa selama empat jam bagi satu sesi itu agak singkat pada saya.

"Apapun saya bersyukur lepas dua tahun berniaga baru dapat lesen, tidaklah kami gugup setiap kali nampak penguat kuasa berlegar di sini,” katanya.