Isteri rayu bantuan, suami terlantar sakit

A
A
A

JELI - Seorang isteri di sini hilang punca pendapatan selepas suami yang sebelum ini menjadi tulang belakang keluarga disahkan menghidap kanser hati.

Latifah Dollah, 43 berkata, sejak suaminya Nik Zulkifli Nik Mat, 48 disahkan menghidap kanser hati awal Januari lalu, mereka hanya bergantung pada simpanan yang ada selain sumbangan jiran dan rakan untuk perbelanjaan seharian.

"Sebelum ini kami usahakan kedai kopi di laluan Lebuh Raya Timur Barat Jeli- Gerik sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

"Tapi sejak suami disahkan ada masalah hati dia tidak lagi mampu untuk bekerja dan kami seolah hilang punca pendapatan kerana saya tidak bekerja, hanya membantu apa yang patut di kedai kopi berkenaan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Bol di sini.

Latifah berkata, pada 1 Januari lalu suaminya dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahagian dada dan perut.

Dia berkata, sudah lama suaminya mengadu tidak selesa di bahagian berkenaan bagaimanapun mereka sangka ia hanya sakit- sakit biasa.

"Sebelum ke hospital saya bawa suami ke klinik swasta, doktor maklumkan hatinya bengkak dan minta suami segera dirujuk ke hospital," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di hospital mengesahkan suami menghidap kanser hati dan ia sudah merebak ke bahagian ususnya.

Artikel Berkaitan:

"Selama 11 hari suami dirawat di Hospital Tanah Merah dan Jeli sebelum dibenarkan pulang. Keadaannya agak membimbangkan kerana dia tak boleh makan apa- apa. Kalau makan akan keluar balik sebab hatinya tak berfungsi dengan baik untuk proses apa yang dimakan," katanya.

Latifah berkata, dia kini buntu memikirkan perbelanjaan mereka sekeluarga termasuk untuk menampung persekolahan empat dari tujuh anak mereka yang berusia antara setahun lebih hingga 24 tahun.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam (03054020372572) atas nama Latifah Dollah.