X

Kindly register in order to view this article
!

Seludup migran: Akaun suspek, keluarga dibekukan

Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A

KOTA TINGGI - Polis menyiasat semua aset milik suspek yang terlibat dalam sindiket penyeludupan migran di pantai timur Johor termasuk membekukan akaun mereka dan ahli keluarga.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (AMLA) 2001.

"Seramai 51 orang dituduh di mahkamah atas kesalahan itu hari ini. Kita juga sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dihantar ke Pejabat Peguam Negara dan minggu depan 19 penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket ini akan didakwa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 51 Geng Otong seludup migran didakwa

Seramai 51 anggota Geng Otong dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yang mendalangi sindiket penyeludupan migran antara 2015 hingga tahun ini.

Pendakwaan itu susulan kejayaan polis pada 4 Jun lalu menangkap 40 suspek utama yang menjadi dalang penyeludupan migran di pantai timur Johor melibatkan ejen mengurus keluar masuk migran, menguruskan pengangkutan, tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan.

Susulan itu 23 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ditahan dari 13 hingga 18 Jun lalu disusuli serbuan pada 23 dan 25 Jun lalu kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran dan dadah.

Ayob Khan berkata, pihaknya akan bertindak lebih agresif untuk membanteras aktiviti penyeludupan migran selepas kejayaan melumpuhkan 95 peratus kegiatan jenayah rentas sempadan.

Katanya, polis akan terus memburu baki anggota sindiket yang kini berada di Indonesia dan operasi sebelum memfokuskan kepada membanteras migran dan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kita juga bimbang penyeludup akan menggunakan cara sama dengan bantuan tekong menyusup masuk ke negara ini melalui jalan laut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus