X

Kindly register in order to view this article
!

Bakti MADA 50 tahun, pencapaian membanggakan

Ahmad Tarmizi (dua dari kiri) menyampaikan hadiah pertandingan Sudut 50 Tahun MADA disertai semua bahagian, wilayah dan PPK baru-baru ini.
A
A

BAKTI Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) boleh dibanggakan sejak ditubuhkan pada 30 Jun 1970. Pada tahun ini, genaplah usianya 50 tahun, sambutan Jubli Emas pastinya dinantikan kerana MADA adalah sebahagian daripada sejarah penting industri padi negara.

Biarpun Pengerusi MADA bersilih ganti, namun hala tuju dan visi MADA tetap relevan dalam meningkatkan industri padi ke tahap lebih kompetitif. Sempena meraikan ulang tahun MADA ke-50, Sinar Harian berkesempatan menemubual Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang dilantik pada 16 Mei lalu.

SINAR HARIAN: Boleh kongsi sejarah awal penubuhan MADA dan apakah peranan dimainkan agensi ini ketika itu?

AHMAD TARMIZI: Kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia merangkumi kawasan seluas 130,282 hektar di mana 100,685 hektar merupakan kawasan penanaman padi yang terletak di negeri Kedah dan Perlis. Ia merupakan projek pertanian terbesar bawah Rancangan Malaysia Pertama (RMK1) dimulakan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ketika itu, kerajaan mahu mengubah sistem penanaman padi kepada dua kali setahun dan menggabungkan fungsi dua agensi iaitu Jabatan Parit dan Tali Air (JPT) dan Jabatan Pertanian yang dipusatkan sebelum MADA diwujudkan.

Ahmad Tarmizi (tiga dari kanan) bersama Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali (dua dari kiri) ketika simbolik perasmian Jubli Emas MADA baru-baru ini.
Ahmad Tarmizi (tiga dari kanan) bersama Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali (dua dari kiri) ketika simbolik perasmian Jubli Emas MADA baru-baru ini.

Matlamat menubuhkan MADA yang dirasmikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien adalah untuk memajukan kesejahteraan hidup penduduk desa yang sebahagian besar ketika itu hidup di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan purata sekitar RM2,000 setahun. Matlamat seterusnya adalah untuk menghasilkan keperluan makanan negara dengan menyasarkan Dataran Muda sebagai tempat tersedia dengan sawah padi sebagai industri tradisi.

Peranan awal agensi ini amat besar dalam memacu industri padi menyaksikan kejayaan membasmi kemiskinan sehingga kurang daripada satu peratus sehingga tahun 2018 dengan purata pendapatan melebihi RM33,827 setahun berbanding RM2,095 setahun pada era 1970-an.

Bagaimana untuk MADA kekal relevan pada masa kini terutama dalam meningkatkan hasil padi?

Program pengembangan pertanian dan pengairan menjadi nadi utama yang membolehkan MADA terus kekal relevan. MADA mempunyai seramai 622 pegawai pengembangan di lapangan yang bergerak mendampingi petani bagi menyalurkan maklumat dan menyampaikan teknologi kepada petani dalam meningkatkan hasil padi. Pegawai barisan hadapan inilah yang menjadi tonggak perhubungan antara MADA dan petani.

Pelbagai usaha dilakukan, antaranya kita berjaya kekalkan kawasan Muda sebagai jelapang padi utama negara dengan memperkenalkan program peningkatan hasil padi 10 tan sehektar.

Selain pelaksanaan projek separa ladang seawal tahun 1990 sebagai usaha mengkomersialkan penanaman padi, estet padi berpusat dan pengenalan beberapa teknologi pertanian baharu seperti dron penyemburan racun dan jentuai mini untuk melonjakkan pengeluaran padi.

Secara bandingan, purata hasil sekitar 3.37 tan/hektar pada 1965, meningkat kepada 4.67 tan/hektar (1980), 5.97 tan/hektar (2011) dan tertinggi pada 2014 cecah 6.49 tan/hektar.

Faktor pengairan, cuaca dan infrastruktur antara penyumbang kepada peningkatan hasil namun bukan mustahil untuk capai sasaran 10 tan/hektar kerana sudah ada beberapa kawasan berjaya melakukannya. Transformasi pengurusan tanaman padi berskala besar (PPSB) di kawasan Muda turut diperkenalkan dengan menyasarkan setiap petani mengusahakan sekurang-kurangnya lima hektar sawah padi.

Apa tumpuan MADA buat masa ini untuk bantu petani tingkatkan pendapatan?

Kita mahu perkasa PPSB dengan menyasarkan penglibatan 20,000 pengusaha dan 300 usahawan padi. Ini bermakna pengusaha sawah sedia ada perlu tingkatkan keluasan kepada lima hektar bagi capai pendapatan RM4,000/bulan dan mampu keluar daripada kelompok B40. Usahawan padi muda digalakkan mengusahakan sehingga 50 hektar tanaman padi untuk mencapai pendapatan bulanan sehingga RM15,000/bulan.

Ahmad Tarmizi menyampaikan amanat ketika berucap pada sambutan Jubli Emas MADA.
Ahmad Tarmizi menyampaikan amanat ketika berucap pada sambutan Jubli Emas MADA.

Untuk menjayakan projek ini, fungsi 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) akan diperkukuhkan sebagai penghubung antara petani dan kerajaan. Buat masa ini, sesi penerangan masih dijalankan berikutan masih ada petani belum bersedia bergabung dalam kelompok besar. Kita turut mengumpul kisah kejayaan projek perintis ini untuk dijadikan contoh kepada petani.

Bagaimana untuk cetuskan minat usahawan muda ceburi sektor pertanian sebagai pelapis?

Program Usahawan Muda Tani dilancarkan untuk menarik minat anak muda dalam industri padi dengan menubuhkan MADA Rice Training Center (MRTC). Ini kerana purata umur petani dalam lingkungan 60 tahun menyebabkan produktiviti menurun.

Kita mahu anak-anak mereka ambil alih meneruskan kerjaya tradisi ini dengan wawasan yang lebih luas, berpengetahuan tinggi dalam pertanian dan komited sebagai usahawan muda tani sepenuh masa. MRTC menjadi medan terbaik mengasah bakat mereka di mana seramai 355 graduan dilahirkan sejak tahun 2012. Kita akan giatkan promosi agar MRTC muncul sebagai pusat latihan kemahiran pertanian terkemuka dalam sektor industri padi.

Apa perancangan terbaru MADA terutama dalam penggunaan teknologi supaya tidak terpinggir arus Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)?

Kita sedang membangunkan sistem data besar dikenali sebagai MADAGIS iaitu aplikasi membuat keputusan yang menggunakan satelit untuk menghasilkan pemetaan sawah padi untuk peroleh data tepat contohnya kita berdepan cabaran untuk kekalkan keluasan 100,685 hektar kawasan tanaman padi MADA tanpa berlaku pengecilan saiz di luar pengetahuan kita.

Sistem integrasi ini membolehkan pemantauan dibuat dan dianalisis sebelum keputusan dilaksana. Ia antara usaha pemutihan di kawasan MADA dan dibangunkan oleh MADA sendiri, sistem ini dijangka dapat beroperasi dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi. Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Sains dan Teknologi untuk kukuhkan sistem aplikasi ini.

Warga kerja MADA membaca ikrar pada sambutan Jubli Emas di Ibu Pejabat Mada, Alor Setar baru-baru ini.
Warga kerja MADA membaca ikrar pada sambutan Jubli Emas di Ibu Pejabat Mada, Alor Setar baru-baru ini.

MADA akan meneliti kaedah teknologi baharu sebagai persediaan berdepan musim kemarau panjang seperti yang berlaku penghujung tahun lalu yang berlarutan sehingga awal Februari. Ini kerana ia memberi kesan kepada takungan empangan dan saliran sawah padi. Walaupun ia meninggalkan kesan untuk tanaman musim kedua kali ini, namun ia dapat diatasi secara berperingkat.

Mengambil alih MADA pada pertengahan tahun, apakah sasaran utama yang ingin dicapai dalam tempoh singkat ini?

Kunci kejayaan adalah menggembleng idea dan tenaga antara pembuat dasar dan pelaksana. Dalam tempoh berbaki enam bulan ini (tahun ini), kita akan gariskan keutamaan untuk MADA kekal relevan dalam sektor padi dan industri makanan. Ada beberapa perkara sedang diteliti terutama selepas kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

Persediaan harus dibuat untuk kita lebih bersedia hadapi situasi lebih sukar pada masa depan dalam penghasilan makanan untuk rakyat. MADA terus kekal sebagai penyumbang terbesar pengeluaran makanan negara iaitu 40 peratus sasaran kita untuk perluaskan pencapaian itu dan akan perhalusi aspek penyampaian, bantuan subsidi kerajaan agar digunakan secara optimum oleh petani.

Kita bukan lagi bercakap mengenai keselamatan makanan tetapi ke arah kedaulatan makanan iaitu penghasilan makanan oleh rakyat negara itu sendiri. Aspek lain adalah untuk hasilkan beras lebih berkualiti melalui penghasilan padi kurang penggunaan bahan kimia dan racun. Amalan pertanian baik perlu dipraktikkan supaya dapat menghasilkan padi dan beras berkualiti tinggi selain menggunakan kelelbagaian lebih baik.

Apakah hala tuju MADA di bawah RMK-12?

MADA akan memfokuskan kepada pertanian pintar dan bernilai tinggi. Lima aspek menjadi sasaran iaitu meningkatkan poduktiviti pengeluaran padi, meningkatkan pendapatan petani, meningkatkan keluasan tanaman padi berskala besar kepada 10,000 hektar, melahirkan 2,800 usahawan bukan padi berbanding 2,546 dan meningkatkan peratusan sumbangan padi negara dari 40 peratus kepada 42 peratus.

Akhir sekali, sempena Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Penubuhan MADA ini apakah ucapan kepada warga MADA dan petani?

MADA dan petani ibarat saudara kembar, menyuap nasi kepada rakyat Malaysia. Sudah pasti saya hargai jerih perih petani kerana saya juga berasal dari keluarga petani. Walaupun golongan ini tidak sekaya ahli perniagaan namun mereka adalah nadi penggerak utama negara.

Tanpa petani siapalah kita, yang menyumbang penghasilan makanan negara. Selama 50 tahun MADA berdepan pelbagai cabaran sehingga berjaya bangunkan agensi ini dengan sistem pertanian terbaik dalam negara. Terima kasih warga MADA yang beri komitmen memperjuangkan nasib pak tani.

BIODATA

* Nama: Ahmad Tarmizi Sulaiman

* Umur: 44 tahun

* Asal: Kampung Sungai Pau, Sik

* Jawatan: Pengerusi MADA, Ahli Parlimen Sik, Pengerusi Yayasan Isra’ Malaysia

* Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus