Salleh Keruak mohon kembali sertai UMNO

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah sudah menerima surat permohonan bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk menyertai semula parti, kata Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, surat permohonan Salleh itu diterima UMNO Sabah satu atau dua minggu lepas.

“UMNO sudah pun menerima permohonan (Salleh) secara rasmi dan saya telah memanjangkannya (permohonan) itu kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk dipertimbangkan dan diperhalusi ...(sedang dalam) proses diberi pertimbangan dan kelulusan.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR belum buat keputusan permohonan Salleh Keruak: Anwar

“UMNO Sabah terbuka iaitu kita membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli dan pemimpin daripada mana-mana parti termasuk daripada UMNO dahulu yang ingin kembali (menyertai UMNO semula), kita terima,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menerusi catatan dalam blog beliau sallehsaid.com memaklumkan bahawa beliau telah membatalkan permohonannya untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau mengambil keputusan itu pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah meninggalkan parti pada Disember 2018.- Bernama

Artikel Berkaitan: