Peniaga terlepas tali gantung

Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara 54 bulan.
Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara 54 bulan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang peniaga terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi, di sini, sebentar tadi mengetepikan sabitan dan hukuman gantung terhadapnya kerana membunuh seorang lelaki, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Lim Ah Hai, 62 diperintahkan menjalani hukuman penjara 54 bulan selepas tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dipinda kepada Seksyen 304(b) iaitu menyebabkan kematian mangsa tanpa niat.

Hakim, Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu selepas melihat wujud keraguan di akhir kes pembelaan serta gagal membuktikan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh.

Mengikut pertuduhan awal, Ah Hai didakwa telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Lim Bin Cheng, 51.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12.15 hingga 1.15 pagi di sebuah pusat hiburan di Jalan Negeri Johor Darul Ta'zim, di sini, 5 Disember 2015.

Namun, Mat Ghani dalam hujahnya berkata, mengambil kira keterangan saksi dan pihak pembelaan, tertuduh didapati bukan dengan niat mahu membunuh sebaliknya berlaku provokasi melibatkan mangsa sendiri.

Mahkamah juga mendapati, berdasarkan bedah siasat yang dilakukan, mangsa juga disahkan sedang mabuk kerana mempunyai kandungan paras alkohol yang tinggi dalam darah.

Bagi Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda sekiranya sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Daud Ismail dalam rayuannya memohon mahkamah mengambil kira pelbagai faktor termasuk penyakit asma kronik yang dihidapi tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Taufik Saberi.